MRA, MR D.I.Y Beri Sumbangan Peralatan Kesihatan Perangi Covid-19

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Pertubuhan kebajikan, Malaysian Relief Agency (MRA) dan peruncit perkakasan rumah MR D.I.Y tampil menyerahkan sumbangan kepada Kerajaan Sabah dalam memerangi wabak Covid-19 di negeri ini.

Sumbangan berupa 450 pasang peralatan perlindungan diri (PPE) dan 16,000 keping penutup hidung dan mulut adalah untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di negeri ini.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Safar Untong di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

MRA diwakili Pengerusinya, Mohd Lufti Hafufu Japili manakala Mr. DIY diwakili Pengurus, Karen Chia.

Sumbangan itu juga merupakan tanda sokongan kedua-dua pihak kepada kerajaan negeri yang berusaha bertungkus lumus membendung penularan wabak Covid-19,

Safar dalam kenyataannya berkata, jumlah keseluruhan sumbangan ialah 72 buah kotak mengandungi 1,165 pasang PPE dan 61,000 keping penutup hidung dan mulut yang akan disampaikan secara berperingkat mulai esok sehingga 9 April 2020.

Katanya, bekalan perubatan ini akan turut diedarkan kepada hospital, klinik kesihatan dan pejabat kesihatan daerah mengikut senarai yang ditetapkan setelah semua bekalan ini diterima.

Tambahnya, Kesemua PPE serta penutup mulut dan hidung itu akan diagihkan ke semua hospital dan klinik kesihatan yang merawat pesakit Covid-19.