MPWS Mahu Peruntukan Pembangunan Wanita Dipertingkat Dalam Belanjawan 2020

Norazlinah (tengah) bersama Noni (dua kiri), Mastura (dua-kanan) dan Rashidah (kanan) semasa majlis penutupan berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) meletakkan harapan tinggi agar Belanjawan 2020 akan mengambil kira keperluan wanita terutama dalam bidang keusahawanan.

Pengerusi MPWS Datuk Noni Said berkata, wanita perlukan lebih banyak peruntukan dan geran untuk bergiat dalam bidang keusahawanan.

Dalam masa sama, program latihan kepada wanita juga perlu diperbanyakkan agar wanita mampu berdikari dan menjana pendapatan sendiri terutama wanita di kawasan luar bandar.

“Belanjawan kali ini harus mempunyai cerminan yang boleh membantu wanita meningkat maju ke hadapan.

“Kami sentiasa menekankan tentang peranan wanita. Kini, 51 peratus pengundi di Malaysia terdiri daripada golongan wanita maka, kerajaan perlu memberikan peruntukan selayaknya kepada wanita,” katanya ketika ditanya mengenai harapan MPWS terhadap Belanjawan 2020 yan akan dibentangkan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Penutupan Program Perbincangan Meja Bulat Program Perbincangan Meja Bulat Data Pecahan Jantina & Analisis Gender, di sini pada Selasa.

Noni berkata, manfaat dan peruntukan geran yang diberikan kepada wanita perlu dipertingkatkan.

Mengulas lanjut, beliau memberi jaminan MPWS akan terus mewakili suara wanita dalam menyampaikan masalah dihadapi wanita di Sabah kepada pembuat dasar.

Katanya, MPWS akan sentiasa menjadi jambatan penghubung antara wanita dan kerajaan.

“Kami sentiasa menerangkan mana-mana polisi kerajaan yang memberi manfaat kepada wanita. Kami juga mewakili wanita menyampaikan masalah dan keperluan mereka kepada kerajaan,” ujarnya.

Mengenai program itu, Noni meminta Setiausaha Kerajaan Sabah agar memberi arahan pentadbiran kepada ketua-ketua jabatan untuk menyediakan data pecahan jantina.

Katanya, itu langkah awal bagi memudahkan penyediaan polisi data pecahan jantina pada masa akan datang.