MPT Perlu Permudah Pengeluaran Lesen Perniagaan

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) harus memudahkan proses permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Justin Wong Yung Bin berkata, langkah itu penting bagi merancakkan perkembangan aktiviti perniagaan yang lebih progresif di daerah ini.

Susulan itu, beliau menyarankan Presiden MPT yang baharu dilantik, Joseph Pang untuk melaksanakan pembaharuan urus tadbir yang lebih sistematik dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan MPT.

Usaha sebegini penting bagi menyediakan perkhidmatan dan mewujudkan sistem urusniaga yang lebih teratur.

“Baru-baru ini saya menerima banyak aduan mengenai unit penguat kuasa MPT aktif membuat pemeriksaan ke atas peniagaan haram. Tidak salah dan tiada masalah untuk bertindak mengikut undang-undang, tetapi MPT juga perlu menambah baik prosedur permohonan lesen perniagaan bagi memudahkan peniaga untuk berniaga secara sah,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Justin berkata, platform perkhidmatan e-dagang (e-MPT) pula dilihat tidak begitu efektik kerana maklum balas yang terlalu lambat bagi menerima aduan daripada orang ramai.

Katanya, proses permohonan lesen perniagaan MPT sangat rumit dan menyusahkan. Setiap kali pemohon datang ke kaunter perkhidmatan alasan diberikan ‘masih belum siap’.

Jelasnya, kebanyakan pemilik perniagaan berharap mereka dapat menjalankan aktiviti perniagaan secara sah dan mengikut undang-undang, tetapi prosedur yang rumit dan sifat endah tak endah sesetengah pegawai menyebabkan mereka putus asa untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Untuk itu, MPT perlu menyemak semula sistem perkhidmatan semasa sebelum membincangkan penguatkuasaan undang-undang, terutamanya prosedur yang menyusahkan.