MPS Nafi Gambar Tular Orang Bersesak Di Pasar Sandakan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menafikan orang ramai berkumpul dan tidak mengamalkan penjarakkan diri ketika berkunjung ke Pasar Umum Sandakan seperti gambar yang tular dalam media sosial.

Presiden MPS, Wong Foo Tin, berkata anggotanya turut terlibat sebagai Pasukan Pemantau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan mendapati orang ramai mematuhi peraturan dengan mengamalkan penjarakkan sosial, memakai pelitup muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

Katanya, pihaknya juga sentiasa melakukan pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu.

Gambar orang ramai berbaris ketika berkunjung ke Pasar Umum Sandakan yang dirakam menerusi kamera litar tertutup.

“Gambar yang tular adalah gambar lama.

“Anggota MPS juga terbabit dalam pasukan memantau dan kita juga pantau menerusi CCTV,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sejak semalam, beberapa keping gambar menunjukkan keadaan sesak dan orang ramai berkumpul di Pasar Umum Sandakan tanpa mengamalkan penjarakkan sosial tular menerusi media sosial.

Semenrara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin turut menafikan dakwaan penduduk di daerah ini gagal mematuhi arahan penjarakkan sosial ketika berkunjung ke pasar dan pusat beli-belah.