MPS Diminta Susun Semula Pelan Penempatan Di Batu Sapi

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) diminta menyusun semula pelan penempatan di Batu Sapi di sini, khususnya perkampungan atas air, bagi mengelak kejadian kebakaran daripada berulang.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Arifin Asgali berkata kebakaran besar yang berlaku di kawasan itu disebabkan oleh kedudukan rumah yang terlalu rapat menyebabkan api merebak dengan cepat.

“Saya telah meminta MPS untuk menyusun semula pelan penempatan perkampungan dengan menghadkan jarak rumah antara rumah sejauh 4.57 meter.

ARIFIN ASGALI

“Kebanyakan rumah yang terjejas dengan kebakaran di Batu Sapi dibina sangat rapat antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Yayasan Nur Jauhar kepada mangsa kebakaran Kampung Bonggaya Baru di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Arifin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong dalam Parlimen Batu Sapi, memberitahu kebakaran yang berlaku di Kampung Bonggaya Baru pada 20 Nov lepas melibatkan 72 rumah yang dibina rapat dalam kawasan berukuran 0.81 hektar sahaja.

Beliau terkilan dengan jumlah rumah yang terjejas dengan kebakaran itu dalam kawasan yang sangat kecil, sedangkan Kampung Bonggaya Baru telah digazetkan pada Mei lepas melibatkan 8.9 hektar.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah memajukan permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar sebuah balai bomba dan penyelamat dibina di Batu Sapi.

“Permohonan itu sudah diluluskan. Kita hanya menunggu masa bila balai itu akan direalisasikan,” tambahnya.

Selain kebakaran di kampung Bonggaya Baru, tiga lagi kebakaran berlaku di perkampungan atas air di Batu Sapi tahun ini iaitu di Kampung Air yang melibatkan kira-kira 30 rumah pada 17 Mac, Kampung Karamunting pada 8 Jun dengan 25 rumah, dan Kampung Cenderamata Laut pada 23 Jun melibatkan tujuh rumah.

Sementara itu, seorang mangsa kebakaran di Kampung Bonggaya Baru yang ditemui menceritakan detik cemas pada tengah malam 20 Nov.

Arsid Mo, 64, yang mempunyai masalah penglihatan sejak 2009, berkata kejadian berlaku kira-kira 12.30 tengah malam dan ketika itu, beliau masih belum tidur.

“Saya terdengar orang menjerit “api” dan “lari”. Kemudian, anak saya memimpin saya berlari ke padang terbuka.

“Jarak padang dari rumah saya agak jauh dan saya boleh merasakan bara api sedang merebak dengan cepat dari bawah jambatan tempat kami berlari. Kami nyaris tidak selamat,” katanya.

Arsid merupakan antara 56 penerima sumbangan Yayasan Nur Jauhar dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan bebannya dan keluarga.