MPS Ambil Alih Operasi Kutipan Sampah Daripada Syarikat Konsesi

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengambil alih operasi pemungutan dan pembersihan di daerah ini susulan surat penolakan penyambungan kontrak daripada konsesi lama yang bertanggungjawab mengendalikan operasi itu.

Presiden MPS, Wong Foo Tin, berkata MPS mengambil alih tugas itu sejak 2 Mei lalu selepas menerima surat penolakan itu pada Jumaat.

Katanya, perkara itu mengejutkan MPS yang terpaksa merancang dan mengadakan mesyuarat agar boleh mengembalikan kerja pemungutan sampah dalam kawasan perkadaran dalam tempoh paling cepat terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Perkara ini (penolakan penyambungan kontrak) satu berita mengejut MPS, umpama seorang yang sihat yang menerima keputusan pemeriksaaan doktor  bahawa dia telah mengidap penyakit ‘cancer stage 4’ yang mana memerlukan ratusan ribu untuk rawatan.

“Kita juga sedar isu ini menjadi viral dalam semua bentuk media dengan gambar longgokan sampah sehingga ramai yang menghubungi kami untuk bertanya apa yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Foo Tin berkata, MPS tidak mempunyai lori sampah kerana kerja pemungutan sampah telah diswastakan sejak 10 tahun lalu dan terpaksa menggunakan beberapa unit jentera lori tiga tan yang sedia ada dari bahagian lain yang mana jentera terbabit bukan berfungsi untuk kerja pemungutan sampah.

Katanya, MPS juga berjaya mengumpulkan 26 lori dan jentera penggali serta mengerahkan 100 orang tenaga pekerja MPS bagi membantu melaksanakan operasi pemungutan dan pembersihan sampah.

“Operasi sudah bermula hari ini dan kita jangka akan ambil masa dua hingga tiga hari untuk menyelesaikan kerja pemungutan sampah di 345 lokasi serta semua pusat komersial.

“Kita ucapkan terima kasih kepada syarikat konsesi lama yang telah melaksanakan kerja pembersihan sampah dengan penuh tanggungjawab selama 10 tahun,” katanya.

Foo Tin turut meminta penduduk bersabar kerana MPS perlu mengambil masa bagi mengatasi isu berkenaan dengan kemungkinan kekerapan kutipan sampah di beberapa lokasi terpaksa dikurangkan mengikut kapasiti jentera sedia ada.

Beliau turut memberi jaminan operasi pemungutan dan pembersihan sampah akan

kembali pulih ke tahap sedia ada apabila konsesi pemungutan dan pembersihan sampah yang baharu dilantik.