MPKK Perlu Jadi Mata Dan Telinga Kerajaan, Bantu Membangunkan Kampung

Jaujan bersalaman dengan pimpinan MPKK ketika mewakili Ketua Menteri menyampaikan amanat kepada pemimpin masyarakat itu.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal mengingatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) agar menyokong dasar kerajaan demi kesejahteraan rakyat, bukannya terlibat dengan parti tertentu.

Ketua Menteri berkata, setiap ahli MPKK perlu menjadi mata dan telinga kerajaan untuk mendengar permasalahan rakyat dan disampaikan kepada pihak berkuasa demi memastikan kemajuan serta pembangunan kampung dapat dilakukan.

Tegas beliau, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat mestilah adil atau sama rata tanpa dipengaruhi oleh latar belakang seseorang.

“Kita harus sedar bahawa jawatan yang disandang adalah disertai dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu digalas.

“Dalam hal ini, MPKK perlu mempamerkan komitmen, berintegriti dan adil dalam menyantuni semua anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang, keturunan dan pegangan agama,” katanya dalam ucapan sempena Program Bersama Pemimpin Di Kursus Induksi MPKK Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pagi ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong mewakili Ketua Menteri.

Mohd. Shafie berkata, antara tugas terpenting MPKK adalah memandang serius isu keselamatan kampung terutama kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berlaku di seluruh negeri.

Sehubungan itu katanya, selaku ketua masyarakat, MPKK perlu mengambil tahu sebarang perubahan dan kemasukkan anggota baharu di kampung masing-masing untuk dipastikan status dan tujuan kedatangan mereka.

“MPKK juga perlu mengingatkan semua anggota masyarakat supaya bekerjasama untuk melaporkan perkara tersebut sekiranya didapati berlaku di persekitaran mereka,” jelas beliau.

Menurut Ketua Menteri, turut menjadi keutamaan MPKK ialah soal keselamatan di perkampungan atas air yang banyak dilanda bencana kebakaran kediaman sejak akhir-akhir ini.

“Untuk rekod, tahun 2018 mencatatkan peningkatan kes sebanyak 25 peratus berbanding tahun 2017, manakala bagi tempoh Januari hingga April 2019, sebanyak empat kes kebakaran dicatatkan melibatkan kemusnahan 142 buah rumah.

“Hal ini menunjukkan bahawa terdapatnya keperluan baharu untuk MPKK mengajak masyarakat memahami punca yang boleh menyebabkan kebakaran dan tindakan yang perlu diambil jika berlaku musibah tersebut.

“MPKK juga diseru supaya menjalin hubungan baik dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk saling bekerjasama dalam menangani isu ini,” kata beliau.

BERITA BERKAITAN: –

Shafie Seru Pengurusan Komuniti Kampung Segera Mohon Geran RM10K