MP Timbang Letak Jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan

2596
Rozman Isli

LABUAN: Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata beliau Sedang menimbang untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan (LC) bagi membolehkannya bersuara lebih tegas berhubung isu rakyat.

“Ada permintaan daripada masyarakat supaya saya tinggalkan majlis penasihat agar saya lebih lantang dalam menyuarakan masalah rakyat dan saya sedang menimbangnya,” katanya semasa lawatan ke klinik kesihatan di Pusat Transformasi Bandar, di sini baru-baru ini.

Rozman berkata beliau tidak pernah lelah dalam membangkitkan keperluan pembangunan pulau itu serta permasalahan rakyat sama ada di Parlimen atau ketika bertemu menteri-menteri persekutuan.

“Sebagai pengerusi Majlis Penasihat LC, tidak ada salahnya bagi saya bersuara lantang walaupun Perbadanan Labuan berharap saya menggunakan saluran dalaman (untuk menyuarakan permasalahan rakyat) tanpa melalui media.

“Namun saya rasa saya boleh memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan dengan bercakap pada mesyuarat Majlis Penasihat dan juga melalui media selaku MP,” katanya.

Rozman dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat LC  pada 1 Okt tahun lepas bagi tempoh dua tahun (sehingga 30 Sept 2020). Beliau mengosongkan jawatan pengerusi LC pada Jun tahun lepas, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anggota penasihat lain ialah Ketua PKR Labuan Simsudin Sidek, Setiausaha DAP Labuan Wong Kwan Kit, Dr Ramli Tahir (Parti Amanah Negara Labuan) dan Noor Halim Zaini (calon Parti Warisan Sabah bagi kerusi Parlimen Labuan pada PRU14).

Antara lain, majlis itu bertanggungjawab menasihati LC berkenaan fungsi kerajaan tempatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan.