MP S’kan Ucap Selamat Perpisahan Bagi Kerusi Mendiang Bapanya

118

SANDAKAN: Anggota Parlimen (MP) Sandakan yang baru dipilih, Vivian Wong tersentuh emosinya apabila beliau berjalan menuju tempat duduk mendiang bapanya dalam Parlimen, yang meninggal akibat serangan jantung pada 28 Mac.

Dalam hantaran Facebook beliau baru-baru ini, wanita berusia 30 tahun itu memberi ucapan selamat tinggal kepada kerusi bapanya semalam, dengan satu majlis penyerahan plaq nama bapanya, mendiang MP Sandakan, Datuk Stephen Wong.

“Seperkara paling sukar yang terpaksa saya lakukan hari ini (semalam) ialah mengucapkan selamat tinggal kepada kerusi bapa saya di Parlimen,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Vivian mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah kerana mengilhamkan majlis penyerahan nama itu.

Beliau meneruskan ucapan bagaimana beliau merindui suara mendiang bapanya dan bunyi tapak kakinya serta suara memanggil nama timangan beliau sepanjang berkhidmat dua penggal.

“Saya rindukan anda (Stephen). Saya merindui kata-kata semangat, gelak tawa dan merindui saat-saat menikmati durian bersama-sama.

“Tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membayangkan apakah erti kehidupan sekiranya anda masih ada. Anda meninggalkan banyak kenangan baik mengenai anda kepada orang ramai,” katanya dalam hantaran Facebooknya.

Vivian juga menyebut bagaimana orang ramai mengingati bapanya sebagai seorang yang akan sering membantu orang ramai, yang memberi beliau ketenangan dan inspirasi menjadi anak yang dilenturnya seperti sekarang ini.

Semasa berada di Kuala Lumpur minggu ini, Vivian menghadiri mesyuarat pertamanya selepas pilihan raya kecil 11 Mei dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi membincangkan beberapa isu kritikal di Sandakan yang memerlukan perhatian segera.

Isu berkenaan termasuk perluasan landasan Lapangan Terbang Sandakan, keperluan Hospital Duchess of Kent dan perumahan.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Sandakan, 11 Mei, Vivian mengekalkan kerusi mendiang bapanya selepas menewaskan empat calon lagi dengan majoriti undi lebih besar 11,521, berbanding undi yang diperoleh Stephen sebanyak 10,098 undi pada Pilihanraya Umum ke-14.