KK MP Mohon VOA Di KKIA, Peruntukan Atasi Kesesakan Ditambah

588

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang supaya pelaksanaan visa ketibaan (VOA) turut dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi merancakkan lagi industri pelancongan negeri.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, VOA blh diberikan kepada kelompok pelancong tertentu seperti China dan Korea yang banyak melancong ke negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

“Kawasan saya Kota Kinabalu merupakan destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan pelancong asing, terutama China dan Korea.

“Sebagai contoh, seminggu terdapat 125 penerbangan terus dari China ke KKIA. Tahun lalu Sabah mencatat rekod sejarah tertinggi untuk kedatangan pelancong, 3.879 juta pelancong yang membawa pulangan RM8.342 billion,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

CHAN FOONG HIN

Chan berkata, memandangkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bersetuju agar VOA dilaksanakan di Pulau Langkawi, beliau amat berharap langkah itu dapat dilaksanakan di KKIA juga.

Katanya, sektor pelancongan amat memberi manfaat kepada Sabah berbanding perindustrian dan pembuatan yang hanya menyumbang 7.5 peratus kepada pendapatan negeri.

Sementara itu, dalam mengatasi kesesakan lalu lintas di Bandaraya Kota Kinabalu menjelang 2025, Foong Hin memohon peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion daripada Kerajaan Pusat.

Beliau berkata peruntukan tambahan tersebut adalah untuk Jalan Kolam, Luyang, Jalan Rampayan, Kuala Menggatal, Jalan Donggongon- Tambunan, Penampang dan Jalan Tuaran Bypass, Kuala Menggatal.

“Terima kasih kerana kerajaan sudah meluluskan projek naiktaraf atau pembinaan jalanraya baharu dengan kos RM3 billion untuk Bandaraya Kota Kinabalu iaitu bagi Jalan UMS, Kuala Menggatal; Jalan Tun Fuad Stephen dan Jambatan Ketiga Yayasan, Teluk Likas; KK outer ring road serta Jalan Lintas, Fasa 1 dan 2,” katanya.