MOTAC Teroka Pasaran Pelancongan Baharu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan meneroka pasaran baharu bagi memastikan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY 2020) berjaya dicapai.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Noor Zari Hamat berkata, dalam berdepan situasi semasa, langkah promosi melalui Tourism Malaysia di pasaran domestik dan pasaran baharu seperti Eropah Timur, Asia Tengah, India dan Asia Barat perlu dipergiatkan.

“Kita akan meneroka pasaran baharu seperti di Timur Tengah, mungkin pada minggu depan, kita akan ke sana.

“Dalam masa terdekat ini, kita juga akan mengadakan promosi pelancongan di Asia Tengah seperti di negara Kazakhstan dan Uzbekistan kerana ada potensi di situ.

“Malah, kita juga akan memberi tumpuan mengadakan promosi di India kerana berlaku peningkatan 25 peratus kemasukkan pelancong India ke Malaysia pada tahun lepas,” katanya semasa sidang media selepas melakukan lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini hari ini.

Menurutnya, kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti Qatar Airlines, Emirates dan Etihad juga akan diadakan bagi membolehkan mereka membawa pelancong datang ke Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, pihaknya sedang mempergiat usaha promosi pelancongan di negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

“Usaha promosi pelancongan rentas sempadan ini dilakukan di negara jiran sebelum berlakunya wabak koronavirus.

“Ini memang sebahagian daripada perancangan kita selepas menghadiri Forum Pelancongan ASEAN di Brunei pada Januari lalu.

“Pelancong dari negara-negara ASEAN menyumbang sebanyak 68.5 peratus kehadiran pelancong di Malaysia.

“Jadi, kita perlu memperhebat pelancongan rentas sempadan dengan negara jiran ini supaya sasaran 30 juta pelancong atau RM100 bilion hasil pelancongan sempena VMY2020 dapat dicapai,” katanya.

Mengenai usaha promosi di China, Musa berkata, semua promosi pelancongan di China digantung buat sementara waktu sehingga April.

Katanya, apabila keadaan semakin baik pada April ini, barulah usaha promosi seterusnya akan dibincangkan.