Moktar Ajam Bersara Selepas 37 Tahun Berkhidmat Dalam Kerajaan Sabah

1717
Moktar (kanan) bersalaman dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Datuk Moktar Yassin Ajam kini sudah bersara selepas 37 tahun berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan awam di Sabah.

Jawatan terakhir yang dipegang beliau sebelum bersara adalah Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

Beliau yang lahir pada 14 April 1958 berasal dari Kampung Balimbang, Semporna dan mempunyai tiga orang anak.

Moktar mula berkhidmat dalam sektor awam negeri ini pada 19 April 1982 sehingga 30 Jun 1988, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Tenaga Rakyat di Kementerian Pembangunan Sumber Sabah.

Kemudian pada 1 Julai 1988 sehingga 1 Jun 1997, beliau menjadi Pegawai Tadbir di Biro Pembangunan Sumber Manusia Jabatan Ketua Menteri.

2 Jun 1997 sehingga 31 Disember 2001, beliau menjadi Ketua Penolong Pengarah di Unit Sains dan teknologi seterusnya menjadi Pengarah Unit Sains dan Teknologi, Jabatan Ketua Menteri dari 1 Januari 2002 sehingga 30 Oktober 2005.

Pada 31 Oktober sehingga 18 April 2019, beliau memegang jawatan sebagai Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri.

Sepanjang Perkhidmatan, beliau telah diberikan anugerah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada 2009, kemudian Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) pada tahun 2015.

Pada tahun yang sama (2015) beliau turut dianugerahkan Kesatria Mangku Negara (KMN).

“Sebenarnya saya sudah bersara pada 14 April 2018, bagaimanapun perkhidmatan saya dipanjangkan selama setahun sehingga pada khamis lalu yang menjadi hari terakhir saya bekerja sebagai penjawat awam,” katanya.