Mohd. Azis Bagi Penjelasan Tentang PSS Di Depan Rakyat

4699

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
BONGAWAN: Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman menerangkan secara terperinci mengenai pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) di depan kira-kira 3,000 pengunjung yang hadir dalam program Himpunan Anak Muda anjuran Parti Warisan Sabah (Warisan) malam ini.

Beliau yang ditemani Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majlis di atas pentas menerangkan bagaimana PSS dapat mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah terutama membabitkan penipuan tiga dokumen iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah.

Melalui gambarajah yang digunakan, Mohd. Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri menegaskan perbezaan antara pemegang tiga dokumen iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci dengan PATI yang masuk ke negara ini secara haram.

Berikut adalah penerangan beliau:

Kad Burung-Burung terlebih dahulu dikeluarkan oleh kerajaan antara tahun 1972 hingga 1985 ketika kepada pelarian Filipina yang lari ke Sabah apabila berlaku konflik di negara mereka.

Selepas itu, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara memperkenalkan Sijil Banci bagi menukar Kad Burung-Burung selepas jumlah pelarian di Sabah bertambah.

Bermula tahun 1990, Kad Pendaftaran Khas Orang Asing Khas atau IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk menggantikan kedua-dua dokumen terdahulu.

Disebabkan keadaan geografi pada masa itu, tidak semua pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci bertukar kepada IMM13 dan kedua-dua dokumen asal itu juga tidak dimansuhkan.

Kegagalan memansuhkan dokumen terdahulu menyebabkan wujud sindiket yang memalsukan Sijil Banci dan Kad Burung-Burung sehingga jumlah mereka tidak diketahui.

Bagaimanapun menurut rekod Jabatan Hal Ehwal Sabah, JIM dan MKN, hanya terdapat 136,055 pemegang ketiga-tiga kad itu yang tulen.

Berikutan itu, PSS yang dijangka dilaksanakan bermula 1 Jun akan menggantikan ketiga-tiga dokumen tersebut yang akan turut dimansuhkan.

Semasa pertukaran, pegawai JIM, Jabatan Hal Ehwal Sabah dan MKN akan melakukan pemeriksaan terhadap ketulenan setiap dokumen yang hendak ditukar kepada PSS.

Melalui langkah tersebut, dokumen palsu akan dapat dikesan dan pemegangnya akan segera ditangkap untuk diusir dari negara ini.

Jika pemohon PSS membawa dokumen tulen, mereka akan diberikan PSS yang lengkap dengan ciri-ciri keselamatan.

Bagi pemegang dokumen palsu dan tidak memohon PSS kerana takut ditangkap, mereka akan diburu melalui operasi besar-besaran oleh JIM di seluruh negeri.

Selepas tempoh permohonan PSS ditutup, tiada lagi mana-mana IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung yang akan diterima, pemegangnya akan ditangkap.

Menurut Mohd. Azis, melalui langkah itu, barulah pihak berkuasa dapat mengesan siapa sebenarnya PATI yang ada di negeri ini untuk ditangkap, dipenjarakan dan diusir balik ke negara mereka.

Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa, pelaksanaan PSS bermula daripada Pas Residen Sabah yang dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN), namun dinafikan oleh pimpinan parti itu kerana mahu meraih undi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

“Mereka semua adalah munafik kerana menafikan bahawa cadangan ini mereka yang buat dan menuduh kita pula sebagai PATI tetapi percayalah suatu hari nanti jika pelaksanaan PSS berkesan mengurangkan PATI, mereka akan mengaku itu cadangan BN.

“Percayalah rakyat Sabah PSS ini adalah langkah yang baik bukannya untuk membawa masuk PATI, saya sendiri akan minta Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membatalkan PSS jika niat kita untuk menambah PATI ke Sabah,” katanya.