Mohd Ayub, Nadirah Syazwani Johan Tilawah Al-Quran Sabah

TUN JUHAR

KOTA KINABALU: Mohd Ayub Maidi dan Nadirah Syazwani Sapari muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1442H/2021M di sini malam tadi.

Mohd Ayub mewakili daerah Semporna dan Nadirah Syazwani mewakili daerah Keningau masing-masing menerima hadiah wang tunai RM6,000 berserta piala dan hadiah iringan antaranya pakej mengerjakan haji.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah di sini yang turut dihadiri isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Mohd Ayub memperoleh 90 peratus markah mengatasi qari dari Papar iaitu Hamdi Yusuf yang mendapat 86.32 peratus markah, manakala Muhammad Umar Jiman mewakili Kota Belud memperoleh 86 peratus markah di tempat ketiga.

 Nadirah Syazwani yang mendapat 86 peratus markah mengatasi qariah Nabilah Syafawati Sapari dari Nabawan memperoleh 83.33 peratus markah dan wakil Sipitang iaitu Sanayah Janaid yang memperoleh 81.67 peratus markah.

Mohd Ayub juga diumum sebagai Johan Terbaik keseluruhan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala iringan.

Mohd Ayub dan Nadirah Syazwani bakal mewakili negeri Sabah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada Jun depan.

Sementara itu, Juhar ketika berucap menangguhkan majlis itu menyeru umat Islam supaya kembali mengkaji dan memahami imu serta ajaran yang disampaikan menerusi al-Quran dalam usaha memajukan akal fikiran dan diri mereka sendiri.

Beliau berkata antara ajaran penting dalam al-Quran adalah memastikan kebersihan dan kesihatan diri yang menurutnya amat penting terutama ketika menghadapi ancaman COVID-19 pada masa kini.

“Saya berdoa agar rakyat negeri ini terus menjaga kesihatan diri mahupun keluarga, ikut saranan prosedur operasi standard dalam usaha kita memutuskan rantai pandemik (COVID-19) ini dengan izin Allah,” katanya.