Mohamaddin ‘Laku Keras’

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Bekas Menteri Pelancongan, Mohamaddin Ketapi mendakwa sering ‘dilamar’ dengan pelbagai ‘hantaran’ lumayan daripada pihak tertentu bagi mengalihkan sokongannya terhadap kerajaan pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohamaddin berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan bekas pembantu kanannya bersama tunangnya di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

“Terus terang, saya sendiri tidak mengetahui (kes rasuah) membabitkan pegawai kementerian.

“Namun, apabila perkara ini berlaku, saya banyak menerima lamaran dan ugutan dari pihak tertentu dan dipercayai untuk mengalihkan sokongan politik saya kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Mohamaddin menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Parti Warisan Sabah P188 Lahad Datu Tahun 2020, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Tetap Warisan Datuk Liew Vui Keong, bekas ADUN Tungku Assaffal  P Alian dam bekas ADUN Silam Dumil Pg Masdal.

Tambah Ahli Parlimen Lahad Datu itu, Mohamaddin turut mencabar pihak berbabit mengheretnya sekali ke mahkamah dengan bukti kukuh sekiranya pihaknya melakukan salah laku rasuah.

“Apabila pihak berkaitan kerap menggunakan wang untuk membeli wakil rakyat, saya menganggap tindakan itu tidak ubah seperti pemerdagangan manusia.

“Bayangkan, semasa pilihan raya, Yang Berhormat sanggup cium dan jilat tangan pengundi, namun selepas mendapat mandat, undi serta kepercayaan rakyat pula digadaikan demi wang,” katanya.

Tambah Mohamaddin, seperti tahun 1986, apabila berlaku rusuhan akibat perebutan kuasa politik di Sabah, pembubaran DUN adalah langkah terbaik kerana memulangkan kuasa kepada rakyat untuk memilih Kerajaan Negeri.

“Ketika itu, kita boleh menilai, adakah kuasa menentukan kerajaan itu terletak di tangan ‘katak beriman’ yang kononnya berjuang demi kepentingan rakyat, atau orang kaya yang menawarkan habuan?

“Atau pun rakyat yang akan turun mengundi kelak,” katanya.