MKN Sabah Tahan 158 Pati Dalam Operasi Bersepadu

pati

Rodzi Md Saad
Rodzi Md Saad

KOTA KINABALU – Seramai 158 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah di sekitar bandar raya ini, hari Khamis.

Pengarah MKN Negeri Datuk Rodzi Md Saad berkata daripada jumlah itu, seramai 118 lelaki dan 25 wanita adalah rakyat Filipina manakala selebihnya lelaki rakyat Indonesia.

Kesemua PATI itu yang berumur di antara 13 dan 55 tahun ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Papar sementara menunggu siasatan lanjut selama 14 hari, katanya dalam kenyataan di sini, Khamis malam.

Operasi bersepadu itu, yang bermula dari 12.30 tengah malam tadi hingga 8.30 malam ini, disertai anggota Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Ketua Menteri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Rodzi berkata seramai 2,146 PATI ditahan di seluruh Sabah sejak Januari tahun ini.

“Selain itu, seramai 5,036 PATI sedang ditahan di PTS di seluruh negeri ini termasuk 1,783 orang di PTS Kota Kinabalu, PTS Sibuga (1,328 orang), PTS Tawau (1,167 orang) dan PTS Papar (758 orang),”katanya.

Sejak Januari tahun ini, seramai 18,083 PATI dihantar pulang ke negara asal masing-masing iaitu Filipina (14,254 orang), Indonesia (3,656 orang) dan lain-lain seramai 173 orang.