MKN Sabah Hantar Pulang 400 Pendatang Tanpa Izin Warga Filipina Selasa

Waiting
Antara PATI yang menunggu giliran untuk menaiki kapal feri yang menghantar mereka pulang.

SANDAKAN – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Selasa menghantar pulang seramai 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina ke negara mereka melalui Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina.

Pengarahnya, Datuk Rodzi Md Saad berkata operasi penghantaran pulang itu bermula jam 6 petang dengan menggunakan feri ‘MV Lady Mary Joy 3’.

Katanya, ia membabitkan PATI berusia antara setahun dan 60 tahun yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara Sandakan.

“Usaha ini menunjukkan komitmen kerajaan begitu serius dalam menangani masalah PATI di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata proses penghantaran pulang itu tergendala lebih sebulan disebabkan feri ‘MV Danica Joy 2’ yang dijadual digunakan telah karam di pelabuhan Zamboanga pada 22 Sept lepas.