Misteri Pintu Terkunci: Lelaki Warga Emas Ditemukan Tidak Bernyawa Di Jalan Gaya

KOTA KINABALU : Misteri pintu terkunci membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga emas dalam sebuah bilik di Jalan Gaya, di pusat bandar Kota Kinabalu, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan bantuan untuk membuka pintu yang terkunci di sebuah bilik di belakang sebuah premis perniagaan di Jalan Gaya di sini jam 6.32 petang tadi.

Katanya sepasukan 10 pegawai dan anggota dari BBP Kota Kinabalu dikerah ke lokasi yang terletak 3 kilometer dari balai.

Selepas pintu berkenaan dibuka menggunakan peralatan khas, pasukan bomba menemui seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik.

Lelaki berkenaan yang berusia 66 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi ditamatkan jam 7.22 petang tadi.