RANAU: Memakai kostum Iron Man seberat tiga kilogram sambil mendaki Gunung Kinabalu bukan sesuatu yang mudah, tapi itulah cabaran yang disahut oleh peminat cosplay, Yohan Charles Jayasuriya.
Yohan, 39, menyahut cabaran untuk mendaki Gunung Kinabalu sejauh 8.7km dari Timpohon Gate sambil memakai kostum lengkap Iron Man.
Namun, pendakian kali ini hanya sampai ke stesen Sayat-Sayat kerana cuaca hujan hingga menyebabkan pendakian ke puncak tidak diteruskan atas faktor keselamatan.
Penampilannya mendaki dengan kostum lengkap Iron Man turut menarik perhatian pendaki dan malim gunung yang mendaki Gunung Kinabalu semalam (4 Jun).
Katanya, walau tidak berjaya mendaki sehingga ke puncak disebabkan faktor cuaca namun, impian mendaki Gunung Kinabalu dengan memakai kostum Iron Man tetap terlaksana dan itu juga satu pencapaian buat dirinya.
Sementara itu, Veteriner Dr Randolf Paza yang mengetuai misi tersebut berkata, misi mendaki Gunung Kinabalu sambil menyumbang bantuan kepada malim gunung yang terjejas akibat penularan jangkitan Covid-19 itu berakhir dengan jayanya.
Biarpun, beliau bersama Iron Man tidak berjaya naik sampai ke puncak disebabkan faktor cuaca yang tidak mengizinkan namun, misi utama kali berakhir tetap berjaya dilaksanakan.
“Diharap bantuan yang diberikan ini sedikit-sebanyak dapat membantu meringankan bebanan mereka,” katanya.
Dr Randolf berkata, misi menyampaikan bantuan dan mendaki Gunung Kinabalu itu sepatutnya dilakukan pada hujung Jun, namun disebabkan cuaca tidak mengizinkan, pendakian mereka ditunda sehingga semalam.