Misi Bantuan Banjir Pitas Berdepan Pelbagai Cabaran – Sukarelawan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PITAS: Misi menghantar bantuan kepada mangsa terjejas banjir di daerah ini tidak semudah menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan pinggir bandar.

Kedudukan kampung yang berada jauh di pedalaman, keadaan jalan berlumpur, jalan dan jambatan putus serta jalan yang masih ditenggelami air antara kesukaran yang terpaksa ditempuh sepasukan sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Reach Out.

Dalam misi bantuan yang disertai Sulaiman Inchok pada 18 Jan lalu, keadaan banjir masih belum surut sepenuhnya. Jadi sebahagian jalan masuk kampung masih ditenggelami air.

Kesemua lima kampung itu iaitu Kampung (Kg) Andab, Kg Ladap, Kg Gambir, Kg Kambalang dan Kg Kinagoh dikatakan terputus hubungan dengan jalan utama akibat banjir yang berlaku.

“Sehingga semalam difahamkan jalan di lima kampung ini masih ditenggelami air malah, banyak pokok tumbang, tanah runtuh dan tiang elektrik yang tumbang di sepanjang jalan kampung tersebut,” katanya ketika dihubungi Borneo Today.

Sulaiman,45, berkata, disebabkan keadaan jalan ketika itu masih berlumpur, ia turut menyebabkan lori yang membawa muatan utama terkubur ketika mereka melalui jalan untuk masuk ke persimpangan lima kampung tersebut.

Katanya, mereka bernasib baik kerana Kelab Pacuan Empat Roda yang turut menyertai misi bantuan itu mempunyai kecekapan dalam membantu mengeluarkan lori yang terkubur itu.

Turut berkongsi kesukaran yang dihadapi semasa misi bantuan mangsa banjir Pitas yang dilaksana Reach Out dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Kota Kinabalu ialah Mariah Doksil, 38.

Mariah berkata, mereka hanya menghantar bantuan sehingga ke tempat pertemuan yang telah ditetapkan kerana simpang masuk ke lima kampung itu memang sukar dilalui dan sebahagian jalan masih ditenggelami air.

“Bayangkan orang kampung terpaksa mengangkat bantuan itu dengan berjalan kaki.

“Untuk jalan kampung yang ditenggelami air, mereka terpaksa meredah banjir bagi mengangkat barangan menggunakan rakit.

“Orang kampung sanggup meredah banjir demi memastikan barangan tidak basah apabila disampaikan kepada penduduk kampung yang terputus bekalan makanan,” katanya.

Misi bantuan ini adalah usaha Fauziah Mohd Fuad Stephens selaku Penyelaras Reach Out.

Faridah ketika menghantar bantuan bakul makanan ke lima kampung di Pitas

Mariah berkata, selepas trip pertama bersama Reach Out, beliau mewakili Borneo Speaks turut menyampaikan bantuan hasil sumbangan daripada butik pakaian Majeedah Wraps dengan bantuan lori dari sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah, Kota Kinabalu pada 22 Jan lalu.

Perjalanan kali kedua ini walaupun bukan dilakukan semasa musim banjir namun, ianya masih mencabar kerana melibatkan penghantaran bantuan ke kawasan Ulu Bengkoka. Ada penghantaran yang terpaksa dilakukan menggunakan perahu.

Katanya, bantuan kali kedua ini bagi menghantar bantuan makanan dan barangan keperluan bayi.

Disebabkan misi kedua ini tidak melibatkan Kelab Pacuan Empat Roda, Mariah mengambil langkah berhati-hati untuk tidak memasuki laluan yang berlumpur agar lori bantuan tidak terkubur di laluan berlumpur.

Menurutnya, penduduk kampung juga terpaksa menyeberangi jambatan gantung di Pandan Mandamai bagi membawa bantuan menyeberangi jambatan.

Terdapat penduduk kampung yang menanti dengan menggunakan perahu dibawah jambatan gantung untuk membawa bantuan masuk ke kampung masing-masing.

Misi bantuan Reach Out ini akan diteruskan bagi memasuki kawasan kampung yang agak jauh di pedalaman dengan menggunakan helikopter dengan kerjasama Layang-Layang Flying Academy.