Minuman Keras, Rokok Bernilai Hampir RM8 juta Dirampas

SANDAKAN: Polis Sabah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai yang bernilai kira-kira RM8 juta dalam tiga serbuan berasingan di sini kelmarin.

Rampasan itu dilakukan dalam Op Kontraban yang dijalankan bermula 11 pagi hingga 2.30 petang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, tiga suspek berusia antara 29 hingga 45 tahun turut ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan dengan kerjasama Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Tiga suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras yang tidak bercukai.

Beliau berkata, dengan berpandukan maklumat risikan yang dilakukan, pasukan keselamatan telah menyerbu dua buah gudang dan sebuah rumah dan hasil pengeledahan menemukan rokok serta minuman keras pelbagai jenama yang tidak bercukai dan disyaki diseludup masuk ke negeri ini.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah dua buah van dan sebuah lori yang dipercayai digunakan bagi kegiatan penyeludupan tersebut.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM7.92 juta

Idris berkata, barang rampasan dan tahanan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan siasatan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Ends.