Minuman Keras Cuba Diseludup Masuk Sabah Dirampas

KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup masuk minuman keras tanpa dikesan pihak berkuasa tidak berjaya, apabila kontena membawa minuman itu berjaya dikesan di Pelabuhan Sepanggar.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Cheong Yu Min berkata, minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.41 juta termasuk cukai itu dirampas penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara 11 hingga 17 Ogos lalu.

Beliau berkata, rampasan pada kontena pertama dilakukan pada 11 Ogos, kira-kira jam 9.45 pagi setelah imej imbasan menemukan barangan yang meragukan di dalam kontena yang tiba di pelabuhan berkenaan.

Apabila diperiksa oleh penguat kuasa Kastam, kontena itu didapati berisi 18,236 liter minuman keras.

“Rampasan susulan dilakukan pada 16 Ogos pada jam 9.05 pagi di lokasi sama. Pemeriksaan yang dilakukan menemukan pelbagai jenis minuman keras yang disimpan di dalam dua kontena.

“Seterusnya, pada 17 Ogos pada jam 11.10 pagi, pasukan penguat kuasa menemukan sejumlah 16,632 liter minuman keras di dalam kontena berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Kesemua minuman keras itu bernilai RM278,064.53, manakala anggaran jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM1.136 juta.

Menurut beliau, modus operandi penyeludup adalah dengan mengikrarkan barangan yang dibawa masuk sebagai barangan lain untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967.

Jelas beliau, pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau melaporkan di Pejabat Kastam terdekat.