Minta Maaf Kepada Tuhan Sebab Fitnah Parti Warisan – Darell Leiking

1452
Bekas ahli PBS yang masuk Parti Warisan Sabah pada hari Ahad.

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking menasihatkan pihak yang menuduh partinya didominasi kaum tertentu serta mengaitkannya dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) agar memohon maaf kepada Tuhan kerana mereka telah berbohong dengan rakyat dan memfitnah parti Warisan.

“Parti Warisan kini diserang disebabkan parti ini kian kuat. Sesetengah parti di Sabah ini (menyerang Warisan) kerana mereka bimbang dengan sikap atau pemikiran orang Sabah yang sudah melangkaui sifat perkauman.

“Orang Sabah tahu, semakin anda bersifat perkauman, semakin anda tidak akan ke mana-mana,” katanya kepada pemberita selepas menerima kemasukan 40 bekas anggota PBS Tanjung Aru dan Kota Kinabalu di sini hari ini (Ahad).

Darell, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata parti tertentu sengaja menanamkan persepsi negatif terhadap Warisan apabila mengaitkan parti itu dengan kaum tertentu dan PATI kerana bimbang parti mereka tidak lagi relevan sekali gus memaksa parti dan pemimpin parti-parti berkenaan bersara dari politik.

Loretto Padua, SetiaUsaha Agong Parti Warisan menerima borang keahlian sambil disaksikan oleh Darell Leiking dan pemimpin Warisan yang lain.

Justeru katanya, rakyat tidak seharusnya mempercayai atau terpengaruh dengan dakyah dan difitnah parti-parti pembangkang berkenaan kerana pemimpin parti berkenaan sebahagiannya Anggota Dewan Undangan Negeri atau Anggota Parlimen senang lenang menikmati pencen,gaji dan elaun sedangkan rakyat tidak dapat apa-apa.

Mengenai kenyataannya sebelum ini bahawa beliau akan meletak semua jawatannya jika terbukti parti Warisan memberi kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada PATI, Darell menegaskan parti yang membuat tuduhan perlu tampil membawa bukti.

Katanya, parti Warisan menentang sebarang usaha memberi kad pengenalan kepada PATI dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal amat konsisten dengan perkara ini (tidak memberi kad pengenalan kepada PATI) dan pemimpin-pemimpin Warisan juga sudah bersetuju untuk menghentikan kemasukkan PATI ke Sabah.

Dari kiri: Terrence Siambun, Loretto JJ Padua, Leiking dan Honorsius J Bosuin.

Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis juga telah menangkap ramai kakitangan awam yang disyaki mengeluarkan kad pengenalan kepada PATI demi kepentingan peribadi, katanya.

Hadir pada acara itu juga ialah Loretto JJ Padua, Setiausaha Agung Parti Warisan, Terrence Siambun, Bendahari Agung dan Honorsius Joe Bosuin, Ketua Komunikasi parti.