Mini Karnival Keusahawanan Koperasi diadakan Di Kiulu Selasa

289

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri Kiulu dijemput hadir dalam Program Mini Karnival Keusahawanan Koperasi peringkat DUN Kiulu 2018 yang akan diadakan di Dewan Masyarakat Kiulu pada Selasa.

Mini karnival anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bermula pada 9 pagi hingga 4 petang dan akan dirasmikan oleh Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Jo Anna Henly Rampas.

Progam ini antara lain bertujuan mendedahkan masyarakat setempat dengan potensi dan peluang dalam bidang keusahawanan melalui koperasi.

Disamping itu, mini karnival ini juga akan menjadi medium mempromosikan produk koperasi serta membuka peluang untuk jaringan kerjasama antara koperasi dengan pihak swasta dan usahawan.

Karnival ini juga memberi ruang kepada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) untuk mempromosikan peranan masing-masing kepada penduduk setempat.

Langkah ini selari dengan matlamat pelancaran National Entrepreneurship Framework (NEF) yang telah dilancarkan pada 23 November sebagai rangka kerja keusahawanan untuk memperkasakan pembangunan usahawan dalam kalangan B40 di negara ini.

Pembentangan kertas kerja daripada usahawan berjaya melalui koperasi juga dijemput untuk berkongsi pengalaman masing-masing.

Sehingga kini terdapat 1,450 buah koperasi yang terdapat di Sabah dengan keanggotaan 360,000 ahli koperasi. Manakala, sehingga Disember lalu terdapat tujuh buah koperasi dengan keanggotaan sebanyak 1,913 orang di kawasan DUN Kiulu.