Miliki Sistem Pengurusan Bencana Teratur Menerusi NBOS – Jainab

penting supaya bantuan yang diberikan kepada masyarakat ketika menghadapi bencana adalah lebih teratur dan tiada pertindihan tugasan.
Jainab: Ini penting supaya bantuan yang diberikan kepada masyarakat ketika menghadapi bencana adalah lebih teratur dan tiada pertindihan tugasan.

TAWAU – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah mahu setiap daerah di negeri ini mempunyai sistem pengurusan bencana yang teratur menerusi inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bersama agensi kerajaan.

Menterinya, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata perkara itu penting supaya bantuan yang diberikan kepada masyarakat ketika menghadapi bencana adalah lebih teratur dan tiada pertindihan tugasan.

“Bencana ini boleh berlaku pada bila-bila masa tidak kira kebakaran, banjir atau masalah sosial pun adalah bencana, jadi kita ingin sistem pengurusan bencana yang dapat membantu kita menghadapi bencana, malahan melalui sistem ini masyarakat juga akan lebih terdedah dengan prosedur yang perlu dipatuhi ketika berhadapan dengan bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Batu 2, Jalan Apas pada 2 Jan lepas.

Sehubungan itu, Jainab berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan semua agensi agar perkara itu dapat direalisasikan pada tahun ini.

“Saya telah berbincang untuk melakukan sistem pengurusan bencana ini secara NBOS kerana kita maklum setiap agensi jabatan berkaitan bencana ini mempunyai operasi tindakan masing-masing,” kata Jainab lagi.

Pada program itu, 39 pelajar yang terdiri daripada 21 pelajar sekolah menengah, 12 pelajar sekolah rendah dan enam murid tadika masing-masing menerima peralatan persekolahan termasuk beg sekolah.

Pada 2 Jan lepas, sembilan rumah musnah dalam kebakaran kira-kira 3 petang sekali gus mengakibatkan 25 keluarga tinggal sehelai sepinggang.