Miliki Dokumen Tamat Tempoh, Dua Nelayan Indonesia Ditahan

LABUAN: Dua nelayan warga Indonesia ditahan kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang tamat tempoh di perairan Labuan semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, semasa rondaan rutin Op Benteng dan Op Khas Pagar Laut, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti menagkap ikan di kedudukan 22 batu nautika dari Pulau Labuan.

Semasa pemeriksaan ke atas bot nelayan yang dikendalikan nelayan warga Indonesia itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim menahan dua daripada empat kru yang didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh.

Kesemua kru yang berusia 22 hingga 37 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Nudin berkata, tinggal di Malaysia tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan jenayah maka, komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa menghormati serta mematuhi undang-undang yang telah termaktub di dalam perlembagaan bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara.

Beliau meminta orang ramai melaporkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon MaritimLabuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan MERS999.