MHO Mahu Pekerja Asing Sabah Isi Kekosongan 200,000 Pekerjaan Di Semenanjung

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mahu membantu pekerja asing di Sabah mendapatkan dokumen pengenalan diri bagi membolehkan mereka mengisi kekosongan pekerjaan di Semenanjung Malaysia.

Walau bagaimanapun, pemberian dokumen itu akan melihat kepada kelayakan setiap seorang daripada mereka dan harus memenuhi syarat yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sekiranya isu dokumentasi pekerja asing di Sabah dapat diselesaikan, terdapat kekosongan 200,000 pekerjaan di Semenanjung yang boleh diisi oleh pekerja asing yang berada di Sabah.

Itu sebabnya MHO memulakan siri jelajah jangkauan luar di seluruh Sabah dan akan dimulakan dengan empat bandar utama terlebih dahulu iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.

Menerusi jelajah itu, MHO juga akan mengenal pasti Orang Asal tidak berdokumen yang berada di seluruh pelusuk negeri ini.

Penasihat MHO, Tan Sri Musa Hassan berkata, MHO mahu memastikan anak-anak orang asal di Sabah mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah demi membina masa depan yang lebih baik.

Pada peringkat awal, MHO akan melakukan pengumpulan data individu yang belum mendapat dokumen pengenalan diri. Selepas itu, data berkenaan akan diberikan kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan dan pengeluaran dokumen pengenalan diri.

Menerusi program itu, MHO akan mengumpul semua data-data yang diperlukan termasuk latar belakang setiap orang asal yang layak menerima dokumen pengenalan diri sebelum kelulusan diberi untuk mengeluarkan dokumen pengenalan diri.

“Isu tiada dokumen pengenalan diri membabitkan orang asal ini sudah berlanjutan agak lama tanpa ada penyelesaian. Kebanyakan orang asal tinggal di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses kepada agensi tertentu untuk mendaftar dokumen pengenalan diri anak-anak mereka.

“Situasi itu menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah dan menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya dalam sidang media sempena siri jelajah MHO, di sini hari ini.

Musa berkata, mereka juga akan menyemak latar belakang agar tiada orang asing menyamar sebagai rakyat tempatan hanya untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri.

Tambahnya, program itu akan dilaksana dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.

Selepas selesai mengumpul data, MHO akan mengemukakan satu usul kepada kerajaan negeri untuk menangani isu orang asal yang tidak berdokumen di Sabah.