Mesyuarat Semakan MA63 Diadakan; Kembalikan Status Rakan Sekutu

2745

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan mula mengorak langkah untuk menunaikan hasrat mengembalikan status rakan sekutu Sabah dan Sarawak dalam Malaysia melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) untuk menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di sini pada Isnin.

Mesyuarat yang julung-julung kalinya diadakan itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Hj. Abdul Rahman Zohari Abang Hj. Openg.

SHAFIE APDAL dan ABANG JO

Semakan MA63 itu bertujuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Malaysia. Ia adalah asas kukuh untuk mengeratkan hubungan antara ketiga-tiga wilayah.
Jawatankuasa ini akan mengesyor kepada kerajaan perkara berhubung pelaksanaan hak-hak dan autonomi Sabah dan Sarawak.

Ini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan perkara-perkara yang terkandung dalam “Chapter 3, Annexes A and B of the Report of the Inter-Governmental Committee, 1962”.

Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia telah mengadakan beberapa siri mesyuarat penyelarasan bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Mesyuarat-mesyuarat tersebut bagi mendapatkan persetujuan awal berhubung senarai isu-isu serta tuntutan yang ingin dikemukakan oleh Kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung Perjanjian Malaysia 1963.

Menteri kabinet persekutuan yang hadir adalah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Luar Negeri Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Manakala rombongan Sabah termasuk Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin dan mantan Peguam Besar Sabah, Datuk Stephen Foo dan bagi Sarawak, termasuk Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan & Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Gerawat Gala.

Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Datuk David Wong dan pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi juga hadir pada mesyuarat pada pagi Isnin.