Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan MA63 Dilakukan

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Mesyuarat pertama jawatankuasa teknikal berhubung pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dijalankan hari ini bagi membincangkan perkara-perkara yang perlu dilaksanakan untuk merealisasikannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Kong berkata, fokus utama mesyuarat ialah berkaitan penetapan terma rujukan jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kerja serta penubuhan jawatankuasa kerja khas mengikut skop isu-isu yang telah dikenal pasti.

“Mesyuarat juga telah meneliti garis masa penyediaan laporan-laporan yang perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan pelaksanaan MA63.

“Turut dibincangkan adalah justifikasi, rasionalisasi dan implikasi berhubung dengan cadangan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan terhadap proses semakan yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Vui Keong dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Antara yang hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin; Peguam Besar Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abd. Rashid serta ahli-ahli jawatankuasa teknikal yang dilantik pada 10 Oktober 2018.

Vui Keong berkata, jawatankuasa itu turut memberi ruang kepada wakil daripada Sabah dan Sarawak tentang perkara-perkara berkaitan pelaksanaan MA63 yang akan diperincikan lagi dalam mesyuarat akan datang.

Sempena sambutan Hari Malaysia 2018 pada 16 September lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjanji bahawa hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Semenanjung akan dikembalikan.

Berikutan itu, Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan MA63 telah ditubuhkan untuk melihat pelaksanaannya.