Mesyuarat Bahagian Warisan Lahad Datu, Kota Marudu Digantung

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) bertindak menggantung mesyuarat di dua bahagian iaitu Lahad Datu dan Kota Marudu susulan pergeseran yang berlaku semasa pemilihan.

Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, mesyuarat tahunan di dua bahagian itu berhadapan sedikit kekecohan semasa pemilihan maka, berdasarkan perlembagaan parti, kedua-dua bahagian itu terpaksa digantung.

Sementara itu, satu bahagian lagi iaitu Beaufort belum mengadakan mesyuarat bahagian. Maka, mereka akan mengadakan mesyuarat selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Warisan yang akan diadakan pada 26 dan 27 Ogos ini.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan menyusun sebaik mungkin bagi membolehkan bahagian Beaufort dapat menjalankan mesyuarat bahagian.

“Namun, bagi kedua-dua bahagian Lahad Datu dan Kota Marudu akan digantung kerana ada kekecohan yang berlaku antara kedua-dua belah pihak yang bertanding,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, masalah yang berlaku itu tidak akan menjejaskan kedudukan parti.

Jelas beliau, sudah menjadi adat pertandingan ada pihak yang menang dan ada yang kalah.

“Saya melihat mereka yang tidak lagi mempunyai jawatan masih kuat bersama parti,” ujarnya.