‘Mesti Mahu Tunai Tanggungjawab Mengundi’- Warga Emas

DAYANG MIAM

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Walau perlu menggunakan kerusi roda turun ke pusat mengundi, itu bukan alasan untuk Dayang Miam Tuah, 81, tidak turun menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Warga emas dari Kampung Benoni ini berkata, sejak berdaftar sebagai pengundi sehingga sekarang, beliau tidak pernah terlepas peluang untuk turun mengundi setiap kali menjelang pilihan raya.

“Mesti mahu mengundi. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat,” katanya ketika ditemui di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Benoni, di sini hari ini.

AISYAH ABD TALIB

Dayang Miam berkata, beliau berharap wakil rakyat yang dipilih dapat melaksana tanggungjawab dengan sebaiknya dalam membawa membawa lebih banyak pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis itu.

Ibu kepada enam orang anak ini tidak sedikit pun merasa takut untuk turun mengundi biarpun dalam keadaan negeri Sabah berdepan dengan wabak Covid-19.

Bagi Aisyah Abd Talib, 64, turun mengundi adalah tanggungjawab yang perlu dilaksana. Atas sebab itu, beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk mengundi setiap kali pilihan raya.

AHMAD AG LUMBOR

“Kita perlu melaksana hak dan tanggungjawab kita sebagai pengundi,” ujarnya.

Turut berkongsi kepentingan turun mengundi adalah Ahmad Ag Lumbor,85, biarpun mempunyai kesukaran untuk bergerak namun, sebagai pesara kerajaan, beliau tidak mahu melepaskan peluang turun mengundi.

“Ini tanggungjawab kita sebagai rakyat. Jika kita tidak mengundi wakil rakyat yang mampu bekerja untuk kita, masa depan anak cucu kita akan tergadai,” katanya.

Pengundi warga emas di Pusat Mengundi SK Benoni itu turut disediakan dengan khidmat dua kerusi roda bagi memudahkan pengundi menuju ke saluran mengundi masing-masing.