MESEJ Kaingaran & Kinolosodon Pertama Laksana Aktiviti Pelancongan

73
Ewon ketika ditemui media dalam Majlis Berbuka Puasa itu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN

KENINGAU: Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Kaingaran, Tambunan dan MESEJ Kinolosodon, Papar dipilih sebagai MESEJ pertama menerima peruntukan bagi pembangunan inap desa dan aktiviti pelancongan di Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek itu antara penambahbaikan yang baru diperkenalkan menerusi pelaksanaan program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dan Aktiviti Pelancongan Luar Bandar di perkampungan MESEJ.

Beliau berkata, pelaksanaan program sebegitu adalah usaha berterusan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dalam memperkasakan lagi Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan Program Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.

“Sementara itu, program-program berkaitan aktiviti ekonomi tambahan seperti pertanian jangka pendek dan perusahaan ternak juga diperkenalkan sebagai punca pendapatan tambahan kepada keluarga isi rumah peserta di MESEJ,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama keluarga isi rumah peserta MESEJ Bunang Keningau, di sini baru-baru ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, selain program pembangunan ekonomi dan infrastruktur asas, kementeriannya juga bercadang mempelbagaikan program berkaitan sosio-kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan di MESEJ dan Kampung Sejahtera.

“Saya telah meminta program-program sosio-kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan diadakan di perkampungan MESEJ supaya ianya menjadi satu wadah kepada interaksi dan komunikasi di antara pimpinan Kerajaan, pegawai-pegawai pelbagai agensi dan jabatan yang terlibat pembangunan MESEJ,” katanya.

Ewon menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak peserta MESEJ dalam majlis berkenaan.

Beliau berkata, interaksi seumpama ini penting untuk terus mendapatkan maklumat bagaimana meningkatkan kualiti hidup mereka, termasuk memudahcarakan permohonan biasiswa dan pembiayaan pendidikan kepada anak-anak peserta yang mendapat tawaran ke institut pengajian tinggi.

Ewon berkata, MESEJ dan Kampung Sejahtera merupakan antara dua program utama kementerian itu yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat bagi membangunkan ekonomi keluarga isi rumah miskin serta meningkatkan kualiti hidup kampung terpinggir melalui akses kepada kemudahan dan program ekonomi.

“Setakat ini, kita mempunyai 52 program MESEJ dan 55 program Kampung Sejahtera di seluruh Sabah.

“Saya telah berpeluang melawat sebahagian perkampungan program ini dan memang banyak keperluan untuk menambahbaik serta memperkasakan pelaksanaan program ini. Ini kerana ada yang menunjukkan kejayaan dan ada juga yang berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Charles Dalansing, Ketua Pegawai Pentadbir LKTNS Haji Fauzie Jamlee, Penolong Pegawai Daerah Ahmad Shah Sunoh, Ketua Polis Daerah Keningau DSP Shahruddin Mat Husain dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Eward Kandok serta pegawai-pegawai daerah di kawasan Pedalaman.