MERC Gayana Teruskan Usaha Bantu Pulihkan Ekosistem Marin

Biorock Artificial Coral Reef yang berada di perairan Gayana Eco Resort.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Memulihkan semula kawasan terumbu karang yang rosak akibat pengeboman ikan dan pemanasan global bukan suatu kerja yang mudah, namun itulah cabaran yang sanggup dihadapi sepasukan penyelidik di Pusat Penyelidikan Ekologi Marin (MERC), Gayana Marine Resort.

Bermula dengan hasrat menyumbang semula kepada hidupan marin sejak 12 tahun lalu, pusat yang bina di kawasan resort yang terletak di Teluk Malohom ini semakin banyak menjalankan program pemuliharaan hidupan marin.

Pemanasan global serta aktiviti penangkapan ikan secara haram seperti mengebom ikan antara dua cabaran yang sukar diatasi tetapi, usaha berterusan akan dilakukan dalam memastikan objektif penubuhan pusat penyelidikan ini mampu dicapai.

LIZIO GODFREY

Duta MERC Lizio Godfrey Mosigil berkata, dalam menjalankan kerja-kerja pemulihan terumbu karang mereka turut mengenalpasti spesis hidupan marin yang berdepan kepupusan.

“Berdasarkan penyelidikan, kami mendapati Kerang Gergasi (kima) antara spesis terancam yang perlu diselamatkan daripada terus pupus. Harga sebahagian kerang ini yang agak mahal menyebabkan hidupan berkenaan menjadi buruan.

“Jika tiada usaha untuk melindungi spesis terancam ini, ia akan pupus dan generasi akan datang tidak lagi berpeluang melihat kerang gergasi di perairan kita.

“Atas sebab itu, MERC menjalankan usaha memulihara spesis kerang ini bermula dari ia kecil hingga kerang itu berada pada saiz antara 9-11cm untuk ditempatkan semula di dasar laut di sekitar Teluk Malohom ini,” katanya ketika ditemui di MERC, Gayana Marine Resort pada Isnin.

Beliau berkata, sehingga kini MERC berjaya menempatkan tujuh daripada lapan spesis Kerang Gergasi yang terdapat di Malaysia di sekitar perairan resort ini.

Malah, pada April lalu pihak MERC mula bekerjasama dengan Taman-Taman Sabah (TTS) bagi menempatkan kerang gergasi yang sudah matang di kawasan perairan Pulau Tiga.

Antara Kerang Gergasi yang boleh ditemui di kawasan pemulihan terumbu karang MERC.

Lizio berkata, memandangkan pulau itu berada dalam kawasan pemantauan TTS, mereka percaya proses pertumbuhan kerang gergasi itu akan berjalan lancar.

Selain memulihara kerang gergasi, MERC turut menjalankan program pemulihan terumbu karang yang rosak akibat pengeboman ikan yang dijalankan di kawasan itu suatu ketika dahulu.

Menurutnya, terumbu karang mengambil masa bertahun untuk pulih dan proses pemulihannya tidak mudah kerana pemanasan global yang berlaku memudahkan terumbu karang ini mati. Namun, itu bukan penghalang bagi MERC melakukan usaha pemulihan terumbu karang.

“Kami berusaha mencari kaedah dan teknologi bersesuaian dalam mempercepatkan pertumbuhan serpihan terumbu karang yang sudah patah.

“Pada 2008 dan 2009 kami mempatkan dua ‘Biorock Artificial Coral Reef’ berhampiran pusat selaman kami. Teknologi menggunakan tenaga elektrik berkuasa rendah ini mula dipatenkan pada 1974 di Eropah.

“Penggunaan teknologi ini membolehkan pertumbuhan terumbu karang dua hingga enam kali lebih cepat dari kebiasaannya. Malah, daya tahan terumbu karang ini 50 kali lebih baik walaupun suhu air tidak menentu.

“Bagaimanapun, kos menggunakan teknologi biorock ini agak mahal. Atas sebab itu, dalam masa yang sama kita berusaha mencari kaedah lain dalam pemulihan terumbu karang ini. Kini, kami juga cuba mengggunakan paip PVC bagi mengantungkan serpihan terumbu karang di paip berkenaan,” ujarnya.

Kerja-kerja membersihkan alga dari serpihan terumbu karang di nurseri MERC.

Dalam masa yang sama, MERC turut menyediakan nurseri terumbu karang bagi membolehkan serpihan terumbu karang ditanam menggunakan simen dan distabilkan sebelum ditempatkan semula di dasar laut.

Lizio berkata, baru-baru ini MERC memulakan pemuliharaan ‘soft corals’ dan rumput laut bagi mempelbagaikan hidupan marin di kawasan perairan itu.

“Apabila terumbu karang mula membesar, ikan dan hidupan marin akan kembali semula kerana mereka mempunyai tempat berlindung. Malah, setelah kami menanam semula rumput laut (seagrass bed), penyu mula datang semula ke kawasan ini,” jelasnya.

Beliau berkata, selain menjalankan pemuliharaan di dasar laut, MERC turut menjalankan program kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah dari Pulau Gaya.

Beliau berkata setiap tahun pelajar sekolah rendah dan menengah dari Pulau Gaya dibawa mengunjungi MERC bagi memberi kesedaran terhadap mereka akan kepentingan pemuliharaan hidupan marin.

Dalam masa yang sama, MERC turut menerima kunjungan dari sekolah-sekolah Amerika Syarikat, Australia dan Singapura.

“Kami harap dengan program kesedaran yang dijalankan ini, pelajar-pelajar yang berkunjung ke sini dapat membawa pulang mesej itu dan berkongsi dengan rakan-rakan mereka. Kami memerlukan bantuan masyarakat setempat dalam memastikan usaha pemuliharaan hidupan marin ini dapat dijayakan,” jelasnya.

Pengamal media turut berpeluang mengikat serpihan terumbu karang pada biorock yang terdapat di situ.

Lizio berkata, sempena bulan bebas plastik pada setiap bulan Julai, Gayana Marine Resort turut mendidik dan memberi kesedaran kepada pelanggan mereka agar tidak menggunakan ‘single-use plastics’ mahupun straw.

Untuk itu, pihak resort menyediakan botol air yang boleh diguna semula kerana tiada botol mineral akan disediakan sepanjang bulan ini.

“Kami gembira melihat pelanggan yang ada menerima baik usaha ini dan mereka sentiasa menggunakan botol yang disediakan ketika melakukan sebarang aktiviti termasuk treking,” katanya.