‘Menumpang’ Lebih 30 Tahun, Penduduk Mohon Geran Tanah Lulus

851
Kediaman Rokinah di Kg Simpang Kiri, Ulu Kimanis.

Oleh SURAIDAH ROSLAN & ILONA ANDREW
KIMANIS: ‘Merasa terasing di kampung sendiri’ itulah luahan Rokinah Untul,57, yang menetap di Kampung Simpang Kiri, Ulu Kimanis sejak 30 tahun lalu.

Wanita yang berasal daripada suku kaum Kadazan Dusun Murut (KDM) ini sudah lama tinggal di kampung itu namun, disebabkan tanah diduduki milik kerajaan, beliau terpaksa duduk ‘menumpang’ di situ sejak 1988.

Katanya, beliau pernah cuba memohon tanah di situ namun, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Papar memaklumkan tanah berkenaan tidak boleh dipohon kerana ia milik kerajaan.

“Saya pernah berjumpa dengan jabatan tanah yang tahun lalu-lalu, dia bilang ini (tanah) tidak boleh dipohon. Ini kawasan macam buangan jalan raya. Jadi, kami dibenarkan duduk di sini.

ROKINAH UNTUL

“Namun tidak pasti apa akan berlaku jika kerajaan ingin mengambil balik tanah ini,” katanya ketika ditemui Borneo Today, di sini semalam.

Selain tanah yang diduduki, Rokinah juga pernah mengemukakan permohonan tanah seluas lapan ekar di kawasan Manis-Manis namun, sehingga kini tiada sebarang jawapan di terima.

Beranggapan permohonannya diproses oleh JTU, wanita ini terus mengusahakan tanah itu dengan menanam pelbagai jenis tanaman seperti durian dan pisang selama lebih 30 tahun.

“Saya sudah duluan mengusahakan itu tempat tapi tiba-tiba orang lain datang kacau. Macam mana kami yang sudah lama usahakan tanah itu dari 1986 hingga sekarang, tiba-tiba dihalang untuk masuk kawasan itu.

“Oleh itu, saya minta pertimbangan kerajaan untuk melihat permohonan tanah yang kami kemukakan sejak lebih 30 tahun lalu itu,” ujarnya.

Ibu kepada lapan orang anak ini berharap permasalahan geran tanah yang dipohon itu akan dilihat dan diluluskan oleh kerajaan.

Menurutnya, bermula 2017, mereka tidak lagi dibenarkan memasuki kawasan kebun mereka kerana dikatakan ia telah dipohon oleh individu lain. Bagaimanapun sehingga sekarang, dimaklumkan tanah itu belum dimiliki oleh sesiapa.

Rokinah berkata, selain masalah tanah, beliau juga meminta kerajaan membantu dari segi peralatan bagi membaiki rumahnya yang sering dinaiki banjir.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang membantu membina jambatan kayu menuju ke rumahnya.

Menurutnya, sejak berpuluh tahun mereka terpaksa menggunakan titian kayu untuk menyeberangi sungai kecil itu, akhirnya tahun lalu ada wakil kerajaan datang membina jambatan di situ.

REGINA SAITUM

Namun, jambatan itu tidak kukuh dan itu mengundang kerisauan kepada mereka.

Sementara itu, Regina Saitum, 53, berkata, penduduk di kampung itu seolah-olah tersisih semasa zaman pemerintahan kerajaan dahulu.

Jika dilihat, jalan di kampung ini masih menggunakan jalan berbatu dan berlumpur. Apabila hujan jalan menjadi licin dan berlumpur.

Oleh itu, beliau berharap wakil rakyat yang dipilih dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis ini akan mendengar permasalahan mereka untuk mendapatkan akses jalan yang lebih baik.

Regina juga berharap satu tangki besar untuk simpanan air dapat ditempatkan di kampung yang mempunyai kira-kira 100 orang penduduk itu.

“Kami bergantung kepada air graviti jadi apabila musim hujan, air tidak akan sampai ke rumah kerana salurannya akan tersumbat.

“Jadi, tangki simpanan itu amat diperlukan penduduk di kampung ini. Maksud kami, kalau boleh, kami mahu ada tangki macam di Kota Belud dan Ranau yang mempunyai tangki besar untuk keperluan semua penduduk.

WAHID SALAM

Manakala, bagi Wahid Salam yang berasal dari Semporna dan menetap di kampung itu sejak 1982, masalah bekalan air, jalan raya dan talian telefon antara permasalahan utama penduduk yang mempunyai hampir 100 orang penduduk ini.

Katanya, ketiadaan talian telefon mendatangkan kesukaran kepada mereka untuk berhubung dengan keluarga

Beliau berharap pihak berkaitan dapat meninjau di kampung itu untuk melihat permasalahan mereka.