Menteri Kesihatan Sahkan Sekolah Ditutup, 6 Murid Positif H1N1

1533

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon mengesahkan penutupan Sekolah Kebangsaan (SK) Stella Maris, Tanjung Aru selepas enam murid di sekolah itu didapati positif Influenza A (H1N1).

Beliau berkata, kes berkenaan masih dalam keadaan terkawal dan masih belum serius.

“Terdapat banyak cara untuk mencegah penyebaran jangkitan virus ini.

“Penutupan sekolah antara salah satu daripada langkahnya. Cara lain adalah dengan menghantar pulang enam murid ini dan mengurung (kuarantin) mereka di rumah.

‘”Tidak semestinya perlu menutup sekolah.

“Dalam kes ini, keputusan menutup sekolah telah diambil oleh pejabat kesihatan daerah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kepala Singa, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Christina Rundi berkata, beliau difahamkan penutupan sekolah itu dibuat atas kemahuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Katanya, jabatan itu sedang memantau perkembangan kes berkenaan setiap hari.

Menurutnya, berlaku peningkatan kes Influenza A yang direkodkan namun, ia tidak membimbangkan. Tiada keperluan untuk sekolah ditutup.

“Kita hanya akan menutup sekolah sekiranya ia (sekolah) sumber jangkitan,” katanya.

Christina berkata, keputusan untuk menutup sekolah (SK Stella Maris) dibuat oleh pejabat kesihatan daerah.

“Selepas ini, akan ada kriteria tertentu yang perlu ditetapkan sebelum penutupan sekolah dilakukan. Kita akan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara ini,” ujarnya.

BERITA BERKAITAN :-

SK Stella Maris, Sekolah Pertama Ditutup Akibat H1N1 Di Sabah