Mempolitikkan Isu Agama Bukan Budaya Di Sabah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengecam tindakan pemimpin PAS yang cuba mempolitikkan isu penggunaan troli di pasar raya tanpa menjaga sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

Ketua Penerangan UPKO, Joisin Romut berkata, tindakan PAS Sabah ini merupakan manifestasi bahawa amalan mempolitikkan isu-isu berkaitan agama dan isu-isu sensitif bukan budaya masyarakat di Sabah.

Tindakan itu mendapat kecaman ramai nitizen kerana menyifatkan PAS Sabah cuba mensensasikan isu seperti ini.

Timbalan Ketua Bahagian UPKO Keningau, Kennedy John turut menyelar PAS Sabah kerana menimbulkan isu troli di pasar raya ini kerana ianya boleh mengundang ketidakharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini.

“Isu agama dan isu-isu sensitif tidak wajar dijadikan modal politik. Tindakan mempolitikkan isu berkaitan agama tidak boleh diambil ringan dan perlu dihentikan sebelum bertambah parah dan melarat.

“Pendekatan politik seperti ini jika tidak ditangani dengan betul akan menggugat keharmonian dan perpaduan yang kita nikmati selama ini.

“Bukankah PAS Sabah merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah dan juga kerajaan Persekutuan?  Walaupun pengasingan troli ini perlu dilakukan, mestikah perkara ini disensasikan demi untuk perjalanan politik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Joisin berkata, isu sebegitu boleh diselesaikan dengan memaklumkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah supaya menyarankan pengusaha pasar raya untuk membuat pengasingan troli tanpa membuat kenyataan yang mengundang ketegangan.

Katanya, sudah tentu, sebagai ADUN Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan beliau berada dalam kedudukan yang boleh membuat perubahan amalan pengasingan troli ini tapi tidak perlu memperbesar-besarkan perkara ini.

Janganlah biarkan amalam politik perkauman ini menggugat keharmonian, toleransi dan perasaan saling menghormati sesama masyarakat Sabah.