Membuta-tuli Sokong Pemberian IMM13, Jeffrey Pak Turut Sebenar

Terrence Siambun

Oleh TERRENCE SIAMBUN

KOMEN: Saya merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Datuk Dr. Jeffrey Kitingan semalam yang mana beliau telah menuduh saya dan beberapa lagi pemimpin politik KDMR sebagai “Pak Turut” kepada sebarang usaha untuk mengekalkan kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.

2. Ingin saya jelaskan kepada Jeffrey bahawa rakyat Sabah mampu untuk melihat dan memahami kesungguhan Kerajaan Warisan Plus dalam menangani isu PATI di negeri ini walaupun beliau terus-menerus membuat hasutan dan fitnah mengenai perkara ini demi kepentingan politiknya sendiri.

3. Isu PSS telahpun berakhir berikutan dengan kemenangan Umno yang dibantu oleh STAR ketika pilihanraya kecil Kimanis yang lalu dan keputusan tersebut mewajarkan Kerajaan Warisan Plus untuk tidak meneruskan cadangan tersebut.

4. Walaupun PSS sebenarnya ialah satu cadangan yang baik dalam usaha Kerajaan Persekutuan pimpinan PH ketika itu dan Negeri untuk merekodkan warga asing yang masuk ke negeri ini serta menghantar balik mereka yang memiliki dokumen palsu serta PATI, usaha ini telah digagalkan melalui hasutan, spekulasi dan fitnah berterusan yang dibuat oleh STAR bertujuan untuk menakut-nakutkan kaum KDMR.

5. Harus diingat, PSS bukanlah satu keputusan bersendirian yang telah dibuat oleh Parti Warisan Sabah tetapi melalui beberapa siri mesyuarat yang telah diadakan diantara agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berkaitan serta mengambil kira sebarang bentuk permasalahan yang mungkin akan timbul seperti sistem biometrik, perundangan, pangkalan data dan maklumbalas Kerajaan Filipina mengenai golongan ‘Stateless’ di negeri ini.

6. Namun, oleh kerana Jeffrey pada masa itu telah pun berjaya menyakinkan kaum KDMR bahawa beliau ialah ahli politik KDMR yang benar-benar mahu memperjuangkan nasib Sabah , maka kaum KDMR lebih cenderung untuk mendengar pendapatnya maka tidak salah jika saya katakan disini bahawa kaum KDMR telah termakan umpan hasutan yang dibuat olehnya.

7. Keputusan Jeffrey untuk menyertai Umno dibawah Perikatan Nasional yang jelas bertentangan dengan Agenda Borneonya, seruan-seruannya seperti ‘Tolak Parti Malaya’ dan ‘Keluarkan Umno dari Sabah’ dan serangan beliau terhadap Musa Aman sebelum ini telah menyebabkan ramai kaum KDMR terkejut dan merasa marah kerana dipergunakan politik olehnya selama ini.

8. Tidak cukup dengan itu, isu IMM13 juga telah menambah kemarahan kaum KDMR terhadapnya apabila beliau merupakan pemimpin KDMR yang pertama sekali memuji cadangan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin itu malah sepertimana yang disiarkan oleh akhbar-akhbar utama di Sabah, Jeffrey turut mahu pemegang Kad Burung-burung dan Sijil Banci mendapat IMM13 tersebut.

9. Dalam kes ini, saya tidak pernah menyuruh Jeffrey menyertai PN untuk bersama-sama dengan Umno, menyokong Musa Aman ataupun mencadangkan agar pemegang Kad Burung-burung dan Sijil Bancian diberikan IMM13; ini semua adalah keputusan Jeffrey sendiri yang mengundang kemarahan kaum KDMR terhadapnya tetapi Jeffrey pula sekarang meminta simpati dengan mengatakan bahawa dia dijadikan sasaran.

Hakikatnya ialah sekiranya dia konsisten dengan apa yang dia katakan selama ini, dia tidak akan dijadikan sasaran oleh kaum KDMR sekarang.

10. Jeffrey menuduh saya sebagai Pak Turut dalam usaha untuk mengekalkan PATI di Sabah tetapi bukankah dia ialah Pak Turut yang sebenar apabila dia dengan membabi-buta menyokong cadangan pemberian IMM13 Hamzah ini? Sekiranya ini ialah satu andaian, maka mengapa Pemuda Umno Sabah, PKANs dan kini PBS sendiri menentang pemberian IMM13 kepada pemegang Kad Burung-burung dan Sijil Banci?

11. Merujuk kepada Para 5 diatas, sekiranya PSS yang telahpun melalui proses mesyuarat demi mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri ditolak oleh Jeffrey, mengapa pula IMM13 yang dicadangkan oleh Hamzah Zainuddin disokong tanpa usul periksa terlebih dahulu oleh Jeffrey?

Soalan yang perlu Jeffrey jawab sekarang ialah, ‘adakah sebelum ini beliau pernah menghadiri sebarang mesyuarat mengenai cadangan IMM13 oleh Hamzah sebelum perkara tersebut diumumkan dan adakah Jeffrey turut menghantar memorandumnya sendiri sepertimana yang dibuat oleh PBS?

12. Jika tidak, ini jelas menunjukkan bahawa Jeffrey cuma hanya berminat untuk mengampu pemimpin-pemimpin dari Malaya sahaja dengan menyokong apa jua cadangan mereka tanpa mempedulikan implikasi yang bakal diterima oleh rakyat Sabah sekiranya cadangan-cadangan tersebut dilaksanakan.

13. Dan ketika kaum KDMR mulai melihat kesungguhan dan sikap rendah diri yang ditunjukkan oleh Shafie Apdal, pelbagai hasutan, penghinaan dan fitnah dibuat terhadap beliau dan Warisan seperti Warisan pro-PTI serta memainkan balik isu cadangan PSS yang sudah digugurkan agar kaum KDMR terus takut dan sangsi dengan Shafie Apdal demi kepentingan agenda politik Jeffrey.

14. Maka apa yang dikatakan oleh Tan Sri Simon Sipaun beberapa hari yang lalu mengenai Jeffrey adalah tepat sekali iaitu, ‘Jeffrey akan terus menggunakan teknik jurujual untuk memastikan beliau terus mendapat sokongan dari kaum KDMR’.

Dalam hal ini, saya yakin bahawa Jeffrey dan STAR akan terus menggunakan teknik terulung Umno iaitu, “divide thru fear and rule thru segregation – pecah menggunakan ketakutan dan perintah melalui pengasingan”. Apabila kaum KDMR terus berada dalam ketakutan dan kesangsian, maka sokongan terhadapnya (Jeffrey) akan berterusan.

* TERRENCE SIAMBUN ialah Bendahari Parti Warisan Sabah dan ADUN Dilantik