“Membubar USNO, Memasukkan UMNO Kesilapan Terbesar Sabah”

KIMANIS: Keputusan membubar USNO, seterusnya membenarkan UMNO bertapak di Sabah merupakan kesilapan terbesar Sabah, demikian kata Naib Presiden Warisan Datuk Junz Wong di Ulu Kimanis hari ini.

Beliau berkata, di era USNO, Sabah mempunyai cabaran tersendiri. Namun orang Semenanjung memandang tinggi orang Sabah. Hasilnya martabat dan maruah rakyat Sabah terbela.

“Masih ingat tak, betapa kayanya Sabah di era USNO? Setiap tahun Yayasan Sabah memberi beg sekolah, kasut, bantuan kewangan kepada orang Sabah.”

“Anak-anak kita yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia disambut seperti VIP. Orang Semenanjung Malaysia memandang kita sebagai orang kaya sebab kita memang kaya.”

“Namun selepas UMNO tiba, segalanya berubah. Kita terpaksa bertuankan Semenanjung Malaysia kerana pemimpin-pemimpin lalu telah mengkhianat Sabah.”

Mr. Lepos Bin Pinih Tan mewakili 66 penduduk Ulu Kimamis menyerahkan borang penyertaan parti Warisan Sabah.

“Kekayaan dari bumi Sabah dan hak-hak orang Sabah satu persatu diserah kepada orang luar. Jadinya orang luar semakin maju dengan kekayaan Sabah, manakala Sabah semakin miskin.”

Usno diasaskan pada tahun 1961 dan dibubarkan pada tahun 1996 selepas enam wakil rakyatnya menyertai Umno, manakala bakinya menjadi ahli Parti Bersatu Sabah.

Junz yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah menjelaskan, terhakisnya maruah orang Sabah disebabkan pencabulan demi pencabulan yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO.

“Sebagai contoh, kuasa meluluskan projek-projek penaiktarafan jeti para nelayan dahulunya berada dalam bidang kuasa Kerajaan Sabah. Tapi UMNO telah menyerahkan kuasa tersebut kepada Kerajaan Persekutuan.”

“Sama seperti industri sarang burung walit. Di era UMNO, kita terpaksa menghantar sarang burung walit ke Semenanjung Malaysia kerana penguasaha-pengusaha Sabah tidak diberi lesen pemprosesan. Jadinya pendapatan para usahawan sarang burung walit terhad.”

“Tapi keadaan sekarang berbeza. Kerajaan Warisan telah menuntut semula kuasa tersebut. Orang Sabah boleh memproses sarang burung walit dan hasil pendapatan para usahawan berpotensi dinaikkan dari RM3,000 sekilo ke lebih RM10,000 sekilo.

Tambahnya, pengundi Kimanis tidak boleh mengembalikan UMNO dan Barisan Nasional.

“Perjuangan Warisan mengembalikan kegemilangan Sabah telah bermula. Jadi jangan lah kita berpatah balik.”