Memalukan, Dulu Hentam Tun M Kini Mahu Bawa Bersatu Ke Sabah Pula

11963
Tun Mahathir – Gambar Internet

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Bekas pemimpin UMNO yang kini bersungguh-sungguh mahu membawa masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke Sabah seolah-olah lupa bahawa merekalah yang menjadi juara menghentam Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Kimanis, Abdul Kadir Jalani berkata, pemimpin-pemimpin berkenaan sebenarnya mempunyai niat lain untuk memecah belahkan Warisan yang mempunyai hubungan baik dengan Bersatu.

Sehubungan itu katanya, tindakan hipokrit bekas-bekas pemimpin UMNO itu sangat memalukan dan perlu dihalang, malah mereka sebenarnya sudah ditolak oleh rakyat Sabah dalam PRU14 lalu.

Abdul Kadir Jalani

“Kemenangan Warisan dalam PRU14 adalah bukti rakyat dahagakan pemimpin baharu yang akan mengangkat bumiputera Sabah dan menyuarakan hak rakyat negeri ini kepada Kerajaan Persekutuan sekaligus membantu memajukan Sabah ke arah lebih baik.

“Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor bahawa Bersatu akan masuk ke Sabah adalah sangat mementingkan diri dan hipokrit, malah menunjukkan mereka masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa UMNO sudah ditolak oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Dr. Mahathir telah menjelaskan bahawa Bersatu tidak akan masuk ke Sabah, malah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah mendedahkan perjanjian adik beradik antara Warisan dan Bersatu agar parti itu hanya kekal di Semenanjung.

Bagaimanapun, senario politik negeri agak panas akhir-akhir ini apabila wujud khabar angin mengatakan Bersatu tetap akan masuk ke Sabah yang turut disahkan oleh Hajiji.

Abdul Kadir berkata, beliau tidak menyangka bekas-bekas pemimpin UMNO Sabah itu sanggup menjilat balik ludah sendiri untuk mencari platform politik baharu bersama Bersatu selepas menghina Dr. Mahathir selama ini.

“Dulu bila Warisan baik dengan Bersatu, mereka kata kita jadi kuda tunggangan, kroni dan anjing Dr. Mahathir tetapi sekarang mereka pula mahukan Bersatu di Sabah.

“Apa niat mereka sebenarnya. Bukankah mereka juga telah menyatakan hasrat mahu membuka parti tempatan lain sebelum ini?,” katanya.