Mekanisme Terbaik Dikenalpasti, Sebelum Benar Pengunaan Bot Pam

2337
Hazani (kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (kanan) mengiringi Shafie selepas selesai Taklimat Isu Keselamatan Esscom, di Kota Kinabalu pada Selasa.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Satu mekanisme terbaik sedang dikenalpasti sebelum kerajaan membenarkan semula penggunaan bot pam di Pantai Timur Sabah bermula pada tahun hadapan.

Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Hazani Ghazali berkata, satu mekanisme perlu diperkenalkan bagi mendaftar semula dan mengeluarkan permit kepada pemilik bot pam.

“Oleh itu, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bersama Jabatan Laut serta Lembaga Pelabuhan dan Dermaga sedang mengenalpasti satu mekanisme terbaik dengan mendapatkan input-input yang boleh digunapakai untuk penambahbaikan.

“Ia tidak boleh dilakukan secara drastik,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat Isu Keselamatan Esscom kepada Ketua Menteri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Hazani turut mencadangkan kepada kerajaan supaya penggunaan bot pam ini diguna dan dibahagikan mengikut warna zon. Setiap bot pam akan mempunyai nombor pendaftaran bagi memudahkan pemantauan dan mengenalpasti pemiliknya.

“Kita tahu bot pam digunakan oleh rakyat yang tidak mampu memiliki bot enjin sangkut atau kapal. Kita bukan mahu menghalang orang tempatan menggunakannya sebaliknya, kita hanya mahu menghalang kemasukan bot pam dari luar Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata, sekiranya bot pam yang sudah didaftarkan diguna mahupun dipinjamkan kepada orang asing, permit bot pam itu akan dibatalkan.

Beliau juga mencadangkan agar kapal nelayan mempunyai ‘fire flare’ yang boleh ditembak ke atas sekiranya berlaku keadaan kecemasan semasa berada di lautan.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga akan mengkaji semula penempatan pusat kawalan polis dan tentera di resort serta pulau-pulau di seluruh negeri ini. Ia bagi memastikan tiada pertindihan tugas pemantauan yang berlaku.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal memberi jaminan tahap keselamatan di negeri ini khususnya di Pantai Timur Sabah akan sentiasa dikawal sebaik mungkin.

“Walau berbagai kekangan, bukan hanya keupayaan tenaga bahkan kewangan yang terbatas, pihak berkuasa akan meneruskan usaha mereka dalam memastikan keadaan kawalan keselamatan diperingkat negeri ini dipertingkatkan dari masa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, pengharaman bot pam masih diteruskan terutama yang melibatkan orang asing.

Ditanya tentang sistem perdagangan ‘tukaran barang’ (barter trade), perkara itu tidak disentuh dalam taklimat yang diadakan. Ia akan dibincangkan di platform yang berlainan.