SEMPORNA: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyeru lebih banyak syarikat besar seperti perkhidmatan restoran makanan segera agar membuka cawangan di pekan-pekan kecil sebagai salah satu langkah membangunkan ekonomi di kawasan luar bandar.
Ketua Menteri berkata, peranan syarikat-syarikat berkenaan penting untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama golongan belia dan mampu mengurangkan penghijrahan orang muda ke bandar.
Sehubungan itu, beliau memuji langkah syarikat restoran makanan segera, McDonalds Malaysia (McDonald’s) yang tidak menumpukan perniagaan mereka di bandar besar semata-mata, sebaliknya memilih untuk membuka cawangan baharunya di kawasan lebih kecil seperti Pekan Semporna.
“Dengan adanya contoh premis seperti McDonald’s bukan hanya berada di ibu kota seperti Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur tetapi ada di pekan-pekan kecil daerah Semporna dan Keningau sudah pasti ini dapat mengelakkan migrasi anak muda dari kampung ke bandar untuk cari pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan restoran baharu McDonald’s di Semporna yang telah mula beroperasi dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 80 anak muda dari daerah berkenaan.
Sempena pembukaan restoran berkenaan, McDonald’s Malaysia turut melancarkan Program Komuniti McDonald’s 2019 iaitu sumbangan sebanyak RM622,800 kepada kepada murid-murid sekolah seluruh negeri iaitu beg sekolah dan pakaian.
Sebanyak 15 murid daripada golongan asnaf di Semporna menerima sumbangan itu dalam majlis berkenaan yang disampaikan sendiri Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Semporna.
Mohd. Shafie berkata, sumbangan yang diberikan itu membuktikan bagaimana manfaat yang diterima rakyat tempatan bukan sahaja daripada segi ekonomi tetapi juga mendapat pelbagai bantuan hasil daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan McDonald’s Malaysia.
“Ini satu usaha yang cukup baik dan di samping itu saya amat hargai usaha McDonald’s bukan hanya untuk menyediakan restoran tersohor di dunia bahkan juga memberi sumbang bakti bantuan kepada anak-anak sekolah, pakaian serta beg dan ini amalan yang cukup kita galakkan.
“Jadi saya harap rakyat di negara kita khususnya di peringkat negeri akan dapat membantu menyuburkan perniagaan seumpama ini kerana pulangan dia bukan hanya setakat keuntungan kepada syarikat tetapi juga masyarakat di negara kita,” jelas beliau.