Mayat Remaja Lelaki Ditemukan di Pantai Sungai Miri

LABUAN: Mayat seorang remaja lelaki ditemukan terdampar di pantai Sungai Miri di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Al Saeif Manahan, 17, yang dipercayai lemas selepas mandi-manda bersama abang tirinya semalam, ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan pada 5 pagi tadi.

Pengarah JBPM Labuan Ismaidi Ismail berkata ketika kejadian 2 petang semalam, mangsa dipercayai berenang di pantai itu bersama abang tirinya Al Faiez Rizal Adnan, 23, kira-kira 1 tengah hari sebelum insiden berkenaan.

Bagaimanapun, Al Faiez ditemukan terapung tidak jauh dari pantai itu dan diselamatkan setengah jam kemudian selepas operasi SAR dijalankan.