Mayat Pekerja Hilang Di Sg Jeroco Ditemui Dengan Kesan Gigitan Buaya

1008

jagaga

KINABATANGAN – Pekerja ladang yang hilang ketika memukat ikan di Sungai Jeroco di sini semalam ditemukan pagi Jumaat dengan kesan gigitan buaya.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt A. Sahak Rahmat berkata mayat Jusri Bin Munawir, 28, ditemukan kira-kira 9.30 pagi tidak jauh dari kawasan mangsa dilaporkan hilang oleh pasukan pencari dan penyelamat.

“Terdapat kesan gigitan buaya di dada, belakang badan, tangan kiri dan kaki pada mayat mangsa,” katanya kepada Bernama.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat.

Jusri sebelum ini dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan di sungai berhampiran ladang tempatnya bekerja.

Ini merupakan kejadian kedua mangsa dibaham buaya di daerah ini yang kes pertama berlaku pada 25 Sept lepas yang membabitkan seorang wanita Filipina.

Dia dilapor mengutip biji sawit di tepi anak sungai di Ladang Genting Mewah.