Mayat Mangsa Bot Karam Ditemukan Di Beaufort

BEAUFORT: Mayat mangsa bot karam yang dihanyutkan arus pada Rabu ditemukan di Kampung Saliwangan Batu 64, di sni pagi tadi.

Mangsa, Joseph Sayah, 55, merupakan mangsa terakhir ditemukan lemas dalam kejadian bot karam di Kampung Kalandos, Pangi, Tenom.

Timbalan Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat mangsa ditemukan oleh orang awam pada 7.52 pagi tadi iaitu kira-kira 37 kilometer dari lokasi bot mangsa dilaporkan karam.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat seorang mangsa lemas tersangkut di tebing sungai. Pasukan bomba kemudian mengeluar dan mengangkat mangsa menggunakan pengusung.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, proses pengecaman oleh keluarga mangsa di Unit Forensik Hospital Beaufort mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa bot karam di Kampung Kalandos, Pangi, Tenom.

Pada Rabu, mangsa bersama seorang kanak-kanak iaitu Melvin Junaidi,12, dihanyutkan arus deras apabila bot yang dinaiki karam semasa dalam perjalanan pulang daripada membeli barang keperluan di Pekan Tenom.

Dalam kejadian pada pukul 4.13 petang Rabu, dua mangsa dilaporkan hanyut dibawa arus apabila bot yang mereka naiki terbalik semasa menghampiri tebing Sungai Padas berhampiran Kampung Kalandos, Pangi.

Semasa kejadian, hanya dua individu berjaya menyelamatkan diri manakala, dua lagi dihnayutkan arus.

-TAMAT-