Mayat Lelaki Terapung di Kawasan Paya Bakau, Labuan

LABUAN: Mayat lelaki ditemukan terapung di kawasan paya bakau SK 33 Kampung Sungai Keling pada petang kelmarin.

Dalam kejadian pada 2.30 petang itu, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Ahmad Jawila berkata, apabila anggota polis tiba di lokasi kejadian, terdapat mayat sedang terapung dalam keadaan mereput disyaki seorang lelaki berdasarkan fizikal mangsa.

Setakat ini, polis klasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut (SDR) sehinggalah laporan bedah siasat diperoleh. Mayat mangsa kini berada di Unit Forensik Hospital Labuan untuk bedah siasat.

“Pihak polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan mana-mana orang atau ahli keluarga.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta agar segera memaklumkan kepada balai polis yang berdekatan,” katanya.