Mayat Lelaki Lemas Ditemukan di Sungai Kiabau, Telupid

194

Oleh THOMAS G MUMPIN
TELUPID: Mayat seorang lelaki dipercayai mati akibat lemas ditemukan di tebing Sungai Kiabau Telupid, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superitendan Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat lelaki itu pada 1.15 petang.

Beliau berkata, saksi memaklumkan menemui mayat seorang lelaki berusia lingkungan 50 tahun, berbangsa Timor dalam keadaan tertiarap di tepi sungai berkenaan.

“Mangsa berpakaian lengkap berbaju kemeja T dan memakai seluar panjang. Siasatan di lokasi mempercayai mangsa telah lemas dibawa oleh arus sungai.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan dan mempercayai tiada sebarang unsur-unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai tidak pandai berenang telah dibawa oleh arus deras sungai sehingga mengkibatkan mati lemas.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Dutches OF Kent Sandakan untuk bedah siasat,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau boleh berhubung dengan hotline IPD Beluran ditalian 089-511222.