Mayat lelaki & kanak-kanak hilang ditemukan di dua lokasi berbeza

62
Pasukan bomba menemukan mayat mangsa lelaki hilang yang dibaham buaya ketika memancing di tepi sungai di Ladang Tabin Hap Seng Lahad Datu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
LAHAD DATU: Mangsa lelaki hilang yang dipercayai dibaham buaya ditemukan pada jarak 2km dari kawasan mangsa memancing.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan mangsa warga Indonesia ditemukan pasukan bomba pada 12.25 tengahari.

Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa, Rudy Gessa, 44, dilaporkan hilang pada 4 petang Ahad ketika sedang memancing di tepi sungai di Ladang Tabin Hap Seng.

Dalam perkembangan lain, pasukan bomba turut menerima laporan penemuan mayat mangsa kanak-kanak hilang yang dikhuatiri lemas di Kampung (Kg) Tebobon, Kota Kinabalu.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Putra Daniel Samsul,3, dilaporkan hilang kira-kira 10 malam Sabtu dan sepasukan bomba mula melakukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di sekitar Kg Tebobon pada hari yang sama dan meneruskan SAR sehingga hari ini (Isnin).

Mangsa ditemukan keluarganya pada 12.19 tengahari pada jarak 3km dari rumah mangsa mengikut aliran sungai.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.