Mayat Lelaki Ditemukan Dipercayai Dilanggar Keretapi

BEAUFORT: Mayat seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ditemukan di landasan keretapi antara Stesen Halogilat menuju ke Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu pada 5.20 petang semalam daripada seorang pemandu keretapi.

Pengadu memaklumkan, ketua stesen keretapi Beaufort telah menerima maklumat daripada orang awam bahawa terdapat mayat seorang lelaki yang mengalami kecederaan pada bahagian leher dan dada dipercayai terlanggar keretapi di landasan keretapi.

“Siasatan mendapati kira-kira 1.30 petang, pengadu memandu keretapi dari Stesen Beaufort ke Stesen Halogilat dan selepas menurunkan penumpang, pengadu berpatah balik ke Beaufort.

“Kemudian pada 4 petang, ketua stesen memaklumkan ada kemalangan berlaku. Bagaimanapun, semasa dalam perjalanan pergi dan balik, pengadi tidak nampak sesiapa berada di landasan dan tidak menyedari kejadian sehingga dimaklumkan oleh ketua stesen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azmir berkata, pada hari yang sama, kira-kira 3.30 petang, seorang lagi pemandu keretapi kecil dari Stesen Halogilat menuju ke Beaufort ternampak satu objek di atas landasan yang dikerumuni beberapa ekor anjing.

Apabila pemandu menghampiri objek itu, ia adalah mayat manusia dan beliau terus memaklumkan penemuan itu kepada ketua stesen Beaufort.

Tambahnya, siasatan mengenai kes ini masih dijalankan.