Mayat Lelaki Ditemui Terapung Di Kampung Bambangan

70

Oleh ARDYHANSAH AMAT
BELURAN: Mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di Sungai Labuk, Kampung Bambangan, sejak petang semalam, berjaya dinaikkan pasukan penyelamat, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintenden Kasim Muda, ketika dihubungi, berkata, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat dari orang ramai yang menemui satu mayat terapung di sungai dari atas jambatan Sungai Labuk, kira-kira jam 6 petang semalam.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat lelaki yang tidak lengkap berpakaian dan berseluar warna gelap.

“Bagaimanapun, usaha menaikkan mayat itu gagal dilakukan ekoran keadaan air sungai yang deras dan keadaan  cuaca gelap menyebabkan pihaknya terpaksa menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 7 malam, semalam,”katanya.

Tambah Kasim, operasi SAR disambung semula jam 7 pagi tadi  dengan kerjasama kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beluran, Agensi Pertahanan Awam (APM), Rela dan penduduk kampung.

“Kami berjaya menemui semula mayat lelaki berkenaan di sekitar Sungai Sapi, pada jam 11 pagi tadi.

“Mayat mangsa berjaya dinaikkan dan dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat,” katanya.

Kasim berkata, berdasarkan pemerhatian awal mendapati tiada kecederaan pada tubuh mangsa, namun, mayat dijangka meninggal dunia lebih dari tempoh 72 jam berdasarkan keadaannya yang tidak sempurna.

“Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenalpasti, selain tiada laporan polis berkaitan orang hilang diterima,” katanya.

Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat selesai dilakukan.