Mayat Kanak-kanak Bot Karam di Pangi, Tenom Ditemukan

TENOM: Mangsa kanak-kanak yang terlibat dalam bot karam di Kampung Kalandos, Pangi kelmarin ditemukan lemas di Sungai Padas berhampiran Batu 60, Beaufort petang tadi.

Penolong Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, mayat mangsa, Melvin Junaidi,12, ditemukan oleh orang awam pada 4.45 petang pada jarak kira-kira 33 kilometer dari lokasi mangsa dihanyutkan arus.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Kampung Binunuk, Beaufort untuk proses pengecaman oleh keluarga mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kedua iaitu Joseph Sayah, 55, akan disambung semula esok,” katanya.

Menurutnya, operasi SAR esok akan bermula dari Sungai Padas di Beaufort sehingga ke lokasi kejadian di Kampung Kalandos, Pangi.

Kelmarin, kedua-dua mangsa bersama dua lagi individu yang terselamat difahamkan baru pulang daripada membeli barang keperluan di Pekan Tenom dan semasa dalam perjalanan pulang, bot mereka tiba-tiba terbalik akibat arus deras pada 4.13 petang.

Kedua-dua mangsa kemudian dihanyutkan arus.